HULU SELANGOR – Empat cedera manakala seorang lagi melecur di paha selepas terlibat dalam satu kemalangan di KM413.1 Lebuhraya Utara Selatan di laluan Lembah Beringin Ke Bukit Tagar, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 9.45 pagi itu, kereta jenis Perodua Viva yang dipandu Mohd Noor Kusairi Bahauddin, 55, dipercayai hilang kawalan dan terbabas masuk ke laluan lorong tengah.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Lim Bak Phai berkata, sebuah kereta jenis Toyota Marx dari arah belakang tidak sempat mengelak dan melanggar bahagian belakang Viva terbabit.

Menurutnya, pemandu yang beralamat di Kampung Gesir Hulu Selisik, Kuala Kubu Bharu itu dilaporkan cedera ringan manakala penumpang hadapan, Rojiah@Rozie Baharuddin, 51, cedera ringan.

“Penumpang, Noor Fisha Nadia Mohd Noor Kusairi, 19, melecur di paha akibat tumpahan petrol manakala Noor Frilisya Dania Mohd Noor Kusairi, 13, dan Nor Syazana Aina dilaporkan cedera ringan.

“Bagaimanapun status kecederaan dan identiti pemandu Toyota Marx belum dapat dikenal pasti berikutan tiada di lokasi kejadian,” katanya kepada Sinar Harian.

Bak Phai berkata, pihak polis sedang berusaha mengesan pemilik kenderaan tersebut dan kes ini diklasifikasikan di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Kesemua mangsa dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut dan orang ramai yang menyaksikan kejadian terbabit diminta tampil ke balai polis berhampiran untuk membantu siasatan,” katanya.