
HULU SELANGOR - Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) menyita sebuah premis perniagaan yang dijalankan oleh warga asing di sekitar Jalan Orkid Bukit Sentosa, semalam.
Pegawai Komunikasi Korporat MDHS, Junainah Abdullah berkata, tindakan dilakukan 28 penguatkuasa MDHS dan melibatkan anggota Balai Polis Bukit Sentosa serta dibantu Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Pembersihan Awam.
Menurutnya, antara barangan yang dirampas sempena Operasi Sitaan itu termasuk perabot dan peralatan memasak dari premis perniagaan tersebut.
"Terdahulu peniaga terbabit dikenakan kompaun di atas kesalahan menjalankan perniagaan tanpa lesen sebelum tindakan menyita dilaksanakan.

"MDHS memandang serius perkara berkenaan dengan tidak membenarkan warga asing menjalankan sebarang aktiviti perniagaan di daerah ini.
"Pihak majlis berharap penduduk setempat memainkan peranan penting menyalurkan maklumat dan membuat aduan berhubung aktiviti tersebut," katanya.
Junainah berkata, kerjasama orang ramai dapat membantu pihak berkuasa tempatan membentras aktiviti perniagaan warga asing di sekitar kawasan mereka
Kemaskini pada 2018-08-09 09:42:25 daripada zarifah