BUKIT BERUNTUNG - Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Apartmen Mawar diminta mendapatkan kelulusan Mesyuarat Agung Tahunan Badan Pengurusan Bersama (JMB) dan pemaju bagi kebenaran meletakkan pondok kabin di kawasan apartmen itu.

Pegawai Komunikasi Korporat MDHS, Junainah Abdullah berkata, apartmen berkenaan belum mem­punyai geran strata dan sebarang perubahan di tapak perlu mendapatkan kelulu­san pemaju iaitu MK Land sebagai tuan tanah.

Menurutnya, kelulusan yang diberikan oleh pihak JMB pada 26 April 2016 oleh Pengerusi JMB tersebut adalah tanpa melalui Mesyuarat Agung Tahunan.

"Pada 9 April 2018, pihak KRT memohon kelulusan peletakkan kabin di kawasan harta bersama apartmen tersebut.

"Kita sudah memaklum­kan kepada pihak KRT melalui perbualan telefon mengenai proses permo­honan peletakkan kabin iaitu perlu mendapat kelulusan daripada pemilik petak semasa Mesyuarat Agung Tahunan dan pemilik tanah.

"Walau bagaimana pun, KRT meletakkan kabin itu pada hujung April dan terdapat aduan oleh pemilik di Apartmen Mawar yang tidak puas hati dan membuat aduan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT)," katanya.

Junainah berkata, pihak KRT menghantar surat kepada pihak JMB bertarikh 2 Julai 2018 untuk memasuk­kan perkara terbabit sebagai salah satu agenda Mesyuarat Agung Tahunan pada tahun ini.

Menurutnya, Bahagian Pesuruhjaya Bangunan menghantar segala dokumen berkaitan permohonan itu kepada pihak KRT pada 5 Julai lalu.

"Dalam isu kabin ini, tiada sebarang kelulusan daripada pemilik petak dan semakan dalam minit mesyuarat agung 2013 sehingga 2014, perkara tersebut tidak dibincang­kan,"katanya.

Semalam, akhbar ini melaporkan gesaan KRT berkenaan yang meminta agar PBT membatal dan penangguhkan kompaun bagi kesalahan meletakkan kabin berkenaan tanpa kebenaran sehingga pihak KRT mendapat persetujuan penduduk melalui mesyuarat agung tahunan JMB pada September depan.