Antara pelbagai barangan dan peralatan yang dirampas.
SERENDAH - Tiga lelaki tempatan dan sembilan warga asing ditahan dalam serbuan di sebuah kilang memproses arak tiruan di Taman Anugerah Suria, di sini, semalam.
Serbuan dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Selangor jam 5 petang itu turut merampas pelbagi jenis arak berjenama dan peralatan memproses bahan tersebut.
Ketua Polis Hulu Selangor, Superintendan Lim Bak Phai berkata, kesemua suspek berusia 20 hingga 40 tahun ditahan ketika sedang melakukan kegiatan terbabit di dalam premis berkenaan.
Menurutnya, sembilan warga asing itu tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

"Antara yang dirampas pelbagai jenis arak jenama seperti Dewars, Black Label, Red Label, Chivas, Macallan, Monkey Shoulder dan Jack Daniel.
"Selain itu, beberapa tong mengandungi campuran cecair alkohol, perisa dan pewarna untuk proses arak serta peralatan memproses penutup botol arak.
"Penampal berbagai jenama arak dan penampal Kastam Diraja Malaysia turut dirampas," katanya.
Bak Phai berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 3 Akta Membaharui Undang-Undang (Penghapusan Samsu Gelap) 1976 yang memperuntukkan hukuman penjara mandatori tidak kurang empat tahun dan tidak melebihi 10 tahun dengan sebatan, jika sabit kesalahan.
Menurutnya, kesemua suspek akan direman hari ini di Mahkamah Kuala Kubu Bharu dan barang rampasan dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut.
Kemaskini pada 2018-11-07 08:00:32 daripada Administrator