Rohaizat Ashikin Ismail, 43, kini mencari rezeki sebagai pemandu e-panggilan, Grab bagi menampung perbelanjaan keluarga dan kos perubatan anak-anaknya.

Anak keempat, Muhamad Hariss Asraf, 5, disahkan menghidap masalah usus dan pernafasan yang dikesan selepas dua hari dilahirkan sementara anak bongsu yang baru berusia setahun, Aira Arissa pula menghidap masalah pernafasan selain sakit jantung berlubang.

Rohaizat berkata, sterinya, Mariam Osman, 37, tidak bekerja dan memberi tumpuan sepenuhnya kepada anak mereka termasuk Nur Alia Balqis, 15; Fitri Aiman, 13; Anisa Maisara, 9 dan Mohamad Adam Hakimi, 4.

“Masalah usus Asraf dikesan selepas gagal buang air besar dan pada usia dua minggu, bahagian usus ditebuk dan dikeluarkan supaya dapat buang air besar. Pihak hospital sudah dua kali cuba untuk sambung semula usus tapi gagal sebab Asraf juga ada masalah pernafasan serius dipanggil sindrom hipoventilasi.

“Selama tiga bulan lepas dilahirkan, badan dan muka Asraf jadi kebiruan sebab oksigen tak cukup dan akhirnya bahagian leher ditebuk untuk disambungkan ke mesin oksigen,” katanya.

Menurutnya, perhatian penuh yang perlu diberikan kepada anak menyebabkan dia mengambil keputusan berhenti kerja di sebuah kilang di Petaling Jaya.

“Selepas anak bongsu dilahirkan, saya dan isteri sekali lagi diuji apabila Aira tunjukkan simptom sama selepas 10 hari dilahirkan. Isteri bersalin normal dan bila tidur, badan serta muka Aira jadi kebiruan menyebabkan bahagian leher ditebuk untuk sambungan mesin oksigen.

“Lembaga Zakat Selangor banyak membantu termasuk makanan harian, perubatan, kewangan dan juga bantuan pembelian rumah yang kini dah jadi hak milik selain mesin oksigen Aira manakala mesin oksigen Asraf berharga RM49,000 disumbangkan Jabatan Kebajikan Sosial Hospital Kuala Lumpur,” katanya.

Rohaizat berkata, pada usia tujuh bulan, Aira pula dikesan menghidap jantung berlubang berikutan denyutan nadi yang lemah dan tidak stabil dan pemeriksaan mendapati terdapat lubang di jantung seluas empat sentimeter dan perlu menjalani pembedahan sekiranya mencecah lima sentimeter.

“Dalam tempoh lapan bulan masuk keluar hospital dan ada terima bantuan alat tiub, hos, penapis dan komponen lain untuk kegunaan mesin oksigen dan keadaan ini menyukarkan saya bekerja makan gaji jadi sejak tiga bulan lepas saya jadi pemandu Grab.

“Kereta Grab disewa dengan bayaran RM315 seminggu dan boleh dapat pendapatan hampir RM1,800 sebulan tapi ia masih tak cukup nak menampung perbelanjaan keluarga dan kos berkaitan perubatan anak sakit,” katanya.

Rohaizat berkata, dia memerlukan bantuan orang ramai bagi memiliki sebuah kereta untuk dijadikan Grab berbanding kini menggunakan kereta sewa syarikat berkenaan.

“Ini sahaja dapat saya lakukan buat masa ini kerana saya juga perlu beri masa untuk bawa anak ke hospital, jadi susah nak cari kerja yang makan gaji.

“Tapi kalau anak bongsu sudah sihat, saya mahu kerja makan gaji kerana mudah urus perbelanjaan sebab pendapatan kerja bawa Grab tidak menentu,” katanya.