DASAR PRIVASI & KESELAMATAN || BANTUAN|| 
Reset Setting Change font size to lower sizeChange font size to original sizeChange font size to large size
T
T
T
jata jata2 PORTAL RASMI
PEJABAT DAERAH / TANAH HULU SELANGOR
BERDISIPLIN, AKAUNTABILITI, INTEGRITI, KERJA BERPASUKAN

Tak takut amaran


TINJAUAN menggunakan dron memperlihatkan keluasan tanah yang diteroka secara haram oleh pendatang asing sebagai ladang sayur di kawasan Bukit Beruntung. - Foto Zunnur Al Shafiq
 

HULU SELANGOR: Kedegilan warga asing yang menceroboh tanah kerajaan dan persendirian di Bukit Beruntung di sini, terserlah apabila notis pengosongan kawasan dikeluarkan Pentadbir Tanah dan Galian (PTG) Hulu Selangor tidak diendahkan.

Meskipun papan dengan notis pengosongan kawasan dipacak atas tanah yang diceroboh, tinjauan BH semalam mendapati kerja pembangunan tanah untuk kebun sayur masih dijalankan tanpa ada tanda mereka akan berhenti daripada melakukan aktiviti itu atau keluar dari situ.

Notis Amaran Pendudukan Secara Tidak Sah itu sudah dikeluarkan oleh PTG Hulu Selangor terhadap semua penceroboh terbabit mengikut Seksyen 425 dan 426A(1)(a), (b) dan (c) Kanun Tanah Negara 1963 sejak 29 Julai lalu.

Menerusi notis itu, semua penceroboh diberi tempoh selama 14 hari untuk meninggalkan kawasan berkenaan bersama semua peralatan dan kelengkapan yang dibawa ke situ selama ini.PTG Hulu Selangor menerusi notis itu turut menyatakan yang tindakan perobohan akan dibuat dalam masa terdekat selepas tempoh notis berkenaan berakhir dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kerugian atau kerosakan harta benda ketika tindakan itu dilaksanakan.
 

Selepas lebih sebulan berlalu, tinjauan mendapati belum ada sebarang tindakan perobohan diambil oleh PTG, malah usaha BH menghubungi pejabat berkenaan bagi mengulas isu pencerobohan itu juga tidak berhasil.

Ketika tinjauan di kawasan yang diceroboh itu, pekerja warga Bangladesh yang ditemui mengakui mereka masih meneruskan kerja berkebun seperti biasa di situ.

“Kami masih kerja seperti biasa, bos (majikan) pun tak cakap apa-apa mahu henti kerja di kawasan ini,” kata lelaki berusia 34 tahun yang sudah bekerja di kawasan kebun tanah ceroboh itu sejak 2011.

Setiausaha Pertubuhan Sahabat Hulu Selangor, Ramlee Mohd Nasir, menyifatkan kedegilan pekebun asing mengosongkan kawasan tanah kerajaan dan persendirian yang diceroboh itu ada kaitan dengan naungan yang diberikan kepada mereka oleh pihak tertentu.

“Apa hak warga asing menceroboh tanah kerajaan dan kawasan milik persendirian di sini. Mereka kini menggunakan kekayaan yang diperoleh daripada hasil pencerobohan selama ini untuk melawan kerajaan dan rakyat tempatan,” katanya.

Ramlee berkata, hanya ketegasan kerajaan dan keikhlasan anggota pihak berkuasa menegakkan undang-undang sahaja yang dapat menghentikan pencerobohan warga asing terbabit.
 

BH Ahad dalam laporan eksklusif semalam, mendedahkan operasi kawasan pertanian komersial membabitkan penanaman sayur-sayuran dengan anggaran keluasan 60 hektar yang diusahakan kira-kira 80 warga asing secara haram.

Tinjauan mendapati tanah berbukit dan lembah di situ, diteroka pendatang asing dengan pelbagai tanaman sayur-sayuran.

Mereka dipercayai mengambil kesempatan meneroka tanah di situ berikutan kawasan berkenaan belum dibangunkan kerajaan dan pemiliknya, kerana sebahagian tanah terbabit terletak di bawah laluan pencawang kabel elektrik berkuasa tinggi.

Malah mereka dipercayai berani bertindak demikian kerana dinaungi seorang lelaki tempatan bergelar Datuk, yang mendakwa aktif dalam sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan kepenggunaan di negara ini.

Sementara itu, dalam tinjauan BH semalam, pekerja asing itu pada mulanya mahu melarikan diri ketika didekati, namun kembali tenang selepas disapa.

Mereka turut menunjukkan rumah kongsi pekerja yang dibina secara berselerak dan berada dalam keadaan usang.

Seorang warga asing yang dikenali sebagai Halim, 33, mendakwa jarang melihat operasi oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Imigresen sejak bekerja di kawasan itu lapan tahun lalu.

Dia turut mengakui ada segelintir pekerja asing di situ tiada permit kerja, namun ‘tauke’ mereka menegaskan isu itu sudah diselesaikan.


 

“Di kawasan ini majoriti pekerja Bangladesh, mungkin senang nak berurusan dan berkomunikasi dengan tauke yang juga berasal dari Bangladesh.

“Memang ada daripada kami yang tiada permit kerja, namun perkara itu tidak perlu dirisaukan kerana ia sudah diselesaikan oleh tauke,” katanya sambil mendakwa kebanyakan warga asing bekerja 12 jam sehari bermula jam 7 pagi dengan dibayar gaji RM1,200 sebulan.

“Kami turut diberi cuti dua bulan setahun, masa cuti baru boleh balik kampung. Segala kebajikan pekerja turut dijaga dengan teratur dan rapi,” katanya.

Seorang lagi pekerja asing yang dikenali sebagai Athen, 30-an, berkata hasil tanaman diberikan kepada seorang tauke yang kemudian membawanya ke Pasar Borong Selayang untuk dijual.

“Kita tanam, hasilnya beri kepada tauke untuk dijual di pasar borong berkenaan. Selalunya tauke itu akan pergi pada waktu pagi dan pulang pada waktu petang,” katanya.

Sumber : BH Online


Kemaskini pada 2019-09-10 08:21:30 daripada Administrator

  •  
  • Print
  • Email this page