Terpaksa redah air ke kubur

BUKIT BERUNTUNG - Pihak berwajib digesa mengambil tindakan sewajarnya berhubung masalah jalan rosak dan terowong ke Tanah Perkuburan Islam Bukit Beruntung yang sering dinaiki air setiap kali hujan.

Masalah itu menyebabkan ahli keluarga penduduk yang ingin melawat tanah perkuburan tersebut terkandas malah kenderaan yang membawa jenazah juga dilaporkan terpaksa mengharungi air yang bertakung di dalam terowong untuk ke kubur.

Penduduk, Suhaimy Ismail, 54, berkata, perkara itu pernah diajukan kepada Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) tetapi difahamkan MDHS hanya bertanggungjawab menyelenggarakan jalan namun terowong tersebut terletak di bawah selenggaraan Projek Lebuhraya Utara Selatan Berhad (Plus).

“Selama ini jalan dan terowong itu memang rosak disebabkan air yang kerap bertakung di dalam terowong.

“Air bertakung berpunca daripada sistem perparitan yang bermasalah. Kalau parit atau saluran pembetung dibesarkan mungkin masalah itu dapat diatasi,” katanya.

Menurutnya, daripada maklum balas yang diperoleh, MDHS tidak mempunyai masalah untuk membaik pulih jalan di kawasan tersebut namun, langkah membaiki jalan dilihat hanya sia-sia jika sistem perparitan dan pembetung tidak dinaik taraf.

“Plus ada selenggara terowong ini sebulan sekali. Tapi selenggara saja tak cukup kalau tetap menakung air.

“Plus perlu menaik taraf longkang dan saluran pembetung bagi melancarkan aliran air,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Azmi Hashim, 47, berkata, jalan dan terowong tersebut turut dikongsi bersama kenderaan berat yang keluar masuk ke tempat pelupusan sampah Bukit
Beruntung yang terletak bersebelahan tanah perkuburan tersebut.

Menurutnya, jalan lebih mudah rosak jika kerap dilalui kenderaan berat seperti lori pemampat sampah.

“Setiap hari lori sampah lalu jalan dan terowong itu. Jadi senang saja jalan rosak.

“Tapi jika kualiti jalan baik dan tahan lama, sistem perparitan yang baik, jalan itu mungkin boleh tahan lebih lama,” katanya.