Tetapan Semula Kecilkan size fontKembalikan saiz font kepada asalMemperbesarkan saiz font
    T
    T
    T
jata2

PORTAL RASMI
PEJABAT DAERAH / TANAH HULU SELANGOR
BERDISIPLIN, AKAUNTABILITI, INTEGRITI, KERJA BERPASUKAN

 

Faq
Soalan
Lazim
HubungiKami
Hubungi
Kami
Aduan
Aduan dan
Maklum Balas
Peta
Peta
Laman

Cadang Bina Masjid Di Tapak Baru

  • Cadang bina masjid di tapak baru Masalah parkir dan kesesakan di jalan persekutuan ini menjadi antara faktor yang perlu diambil kira sebelum masjid baru dibina.
< 1 / 1 >

RASA - Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Melayu Rasa meminta pihak berwajib mempertimbangkan semula cadangan pembinaan masjid baharu di tapak Masjid Jame’ Al Khalidiah.

Pengerusi JKKK berkenaan, Mohd Adnan Abdul Manap berkata, pertimbangan sewajarnya perlu dibuat memandangkan pembinaan masjid baharu tersebut dilaksanakan di tapak masjid yang sedia ada sehingga memaksa ia dirobohkan.

“Kami bersyukur kerana pihak jawatankuasa masjid dapat bawa cadangan pembinaan masjid baharu sehingga diluluskan dengan peruntukan sepenuhnya.

“Cuma kami harap dipertimbangkan untuk tidak dirobohkan masjid yang lama tapi dibina di kawasan lain,” katanya pada pertemuan bersama Ahli Jawatankuasa (AJK) JKKK Kampung Melayu Rasa, semalam.

Menurutnya, pihak berwajib juga perlu mengambil kira beberapa faktor lain sebelum melaksanakan pembinaan masjid baru tersebut antaranya, masalah kesesakan di jalan persekutuan terutama ketika solat Jumaat kerana ketiadaan tempat letak kereta yang mencukupi.

Katanya, kesan jangka panjang perlu diteliti kerana jika pembinaan masjid baru itu dilaksanakan di kawasan sama, dibimbangi akan memberi kesan kepada projek pelebaran jalan antara Taman Templer Rawang ke Tanjung Malim yang pernah dicadangkan sebelum ini.

“Jika projek pelebaran jalan itu dilaksanakan, sudah tentu akan melibatkan pengambilan tanah dan dikhuatiri menjejaskan kawasan masjid yang baru dibina,” katanya.

Mohd Adnan difahamkan, pembinaan masjid baru itu bakal menelan kos lebih kurang RM7 juta dan sepatutnya dilaksanakan tahun lalu namun dibawa ke tahun ini disebabkan faktor tertentu.

Sementara itu, bekas nazir Masjid Jame’ Al Khalidiah, Shamsuddin Husain berkata, masjid lama itu telah menjalani banyak proses pembesaran sehingga keadaannya sekarang namun masih tidak mampu menampung jemaah yang ramai.

“Jadi, kalau boleh kita cadangkan masjid baru itu dibina di atas tanah kerajaan negeri di simpang Rasa yang berkeluasan lebih kurang 4 hektar atau di kawasan muka sauk seluas lebih kurang 3.2 hektar. Sebab kita mahu kekalkan masjid lama jadi warisan atau dijadikan maahad tahfiz,” katanya.

Dalam pada itu, Nazir Masjid Jame’ Al Khalidiah, Redzuan Mohd Isa berkata, pembinaan masjid baru di Kampung Melayu Rasa telah dipersetujui Mais dan Jais.

“Saya difahamkan proses sudah di peringkat akhir di mana hanya menunggu proses pewartaan tanah.

“Pembinaan masjid baru ini juga sudah mengambil kira aspek lain termasuk keselesaan jemaah seperti kapasiti ruang masjid yang mampu memuatkan lebih 1,200 jemaah termasuk dua kawasan tempat letak kereta,” katanya.

Menurutnya, pihak jawatankuasa masjid juga menyediakan dua tempat menunaikan solat Jumaat untuk ahli qariah sepanjang tempoh pembinaan masjid baru tersebut.

“Tempat solat Jumaat sementara telah disiapkan iaitu di Surau Kampung Melayu Rasa Tambahan dan Surau Taman Keruing,” katanya.

Redzuan berharap, ahli qariah dapat memberi kerjasama terhadap usaha membina masjid yang pertama di kawasan Rasa itu.

"Saya juga akan mengemukakan cadangan kepada pihak berwajib sekiranya boleh beri ruang kepada ahli qariah menginfakkan wang mereka dalam pembinaan masjid tersebut," katanya.


Kemaskini pada 2014-02-04 08:23:37 daripada Administrator

  •  
  • Print
  • Email this page