Syahida (kanan) cuba memujuk Norhata yang enggan keluar sambil diperhatikan ibu dan kakaknya (kiri).
HULU BERNAM - Tinggal jauh di pedalaman dengan kehidupan yang daif menyekat seorang murid tahun 6 untuk datang ke sekolah.
Murid Sekolah Kebangsaan Seri Keledang (SKSK) itu dikatakan mempunyai rekod kedatangan tidak baik dan dikhuatiri menjejaskan prestasi pelajarannya yang bakal menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini.
Namun, prihatin dengan perkara itu guru-guru SKSK berkunjung ke rumah murid berkenaan semalam untuk melihat sendiri keadaan kehidupannya.
Guru, Syahida Saliman berkata, walaupun hanya sebagai guru pra sekolah di SKSK, beliau ingin melihat sendiri keadaan murid, Norhata Ali, 12, dan berusaha membantunya.
“Kehidupan keluarganya memang daif. Tempat tinggalnya hanya di dalam sebuah pondok yang kurang sempurna. Ibu bapanya hanya bekerja sebagai pekebun sayur dan pondok tersebut pemberian majikannya.
“Nak sampai ke rumahnya ambil masa setengah jam dan murid ini hanya ada motosikal untuk ke sekolah. Biasanya majikan bapanya yang hantar dia keluar untuk ke sekolah,” katanya.
Beliau melawat keluarga murid berkenaan bersama dua guru termasuk Guru Penolong Kanan (Kokurikulum) sekolah berkenaan.
Syahida berkata, beliau berhasrat membantu sewajarnya kepada murid sekolah itu namun terdapat beberapa kerumitan yang perlu diselesaikan tambahan pula rumah mereka berada di Tapah iaitu sempadan negeri Selangor.
“Kami cadangkan supaya untuk tempoh beberapa bulan sebelum UPSR, murid ini ditempatkan di rumah guru agar dia tidak tercicir dari pelajaran. Majikan bapanya memang nak hantarkan dia ke sekolah setiap hari tapi dia segan. Jadi kami fikir itu langkah paling sesuai untuk membantunya,” katanya.
Di samping itu, diharapkan pihak kerajaan dapat bantu menyediakan tempat tinggal lebih selesa untuk keluarga murid yang mempunyai tujuh adik-beradik itu.
Katanya, mereka hanya bimbangkan pelajaran murid berkenaan malah salah seorang anaknya yang sepatutnya bersekolah tetapi tidak mendapat peluang itu disebabkan kesempitan hidup.
Kemaskini pada 2014-05-12 12:07:57 daripada Administrator