SHAH ALAM - Rakyat yang bimbang dengan status kualiti air kolam alternatif, berpeluang mengetahui perkembangan tahap keselamatan air berkenaan menerusi laman sesawang Lembaga Urus Air Selangor (Luas) yang dipapar setiap minggu.

Perkara itu ditegaskan Exco Belia dan Sukan, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Dr Ahmad Yunus berikutan kebimbangan pelbagai pihak mengenai kualiti air yang digunakan kerajaan negeri.

Menurutnya, kerajaan negeri melalui Luas dan beberapa agensi lain sentiasa membuat pensampelan dari sesama ke semasa.

“Kita mengambil sampel setiap minggu dan akan memaklumkan perkembangan analisis sampel air itu dalam laman sesawang Luas.

“Langkah ini kita ambil supaya rakyat boleh mengetahui tahap keselamatan air kolam alternatif itu,” katanya ketika sidang media berhubung seminar kualiti air kolam sebagai sumber air alternatif di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) petang, semalam.

Beliau dalam pada itu menegaskan, tiada kandungan logam berat terdapat dalam air kolam alternatif yang disalurkan ke dalam empangan Selangor.

Katanya, kandungan logam berat hanya berada di paras dasar bukannya di permukaan air kolam.

“Daripada analisis air yang kita jalankan secara umum, kita guna kedalaman air pada tiga meter dari permukaan sahaja.

“Setakat analisis yang kita jalankan ia meyakinkan dan kualiti air kita berada dalam piawaian yang selamat,” katanya.

Ahmad Yunus berkata, jika didapati kualiti air tersebut melanggar piawaian yang ditetapkan, kerajaan negeri dan Luas akan menghentikan penggunaan air kolam tersebut.

Setakat ini katanya, kesemua sembilan kolam alternatif yang dicadangkan dan akan digunakan kerana ia mematuhi kualiti air mentah yang disyorkan oleh Kementerian Kesihatan.

Keputusan analisis air terawat juga mematuhi Piawaian Kualiti Air Minum Kebangsaan dan selamat digunakan.

“Air yang disalurkan kepada rakyat bukan air mentah dari kolam tersebut tetapi ia adalah air yang telah dirawat,” katanya.