KUALA KUBU BHARU - Cadangan mewujudkan pusat judi lumba kuda di Bukit Tagar terus ditentang. Umno bersama tujuh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengadakan bantahan  menerusi perhimpunan aman di depan Masjid Ar Rahimah selepas Solat Jumaat, kelmarin.

Sebanyak 25,000 tandatangan akan dikumpulkan untuk dihantar kepada Sultan Selangor sebagai satu rayuan untuk tidak sesekali membiarkan projek perjudian diwujudkan di Hulu Selangor.

Ketua Umno Bahagian Hulu Selangor, Mat Nadzari Ahmad Dahlan berkata, dalam tempoh 11 hari bermula 30 Jun lalu, sudah lebih 7,000 tandatangan dikumpulkan.

“Kami menuntut kerajaan negeri Selangor pertahankan keputusan yang telah dibuat oleh kerajaan negeri pada 2005 dan mengeluarkan kenyataan tegas menolak sama sekali cadangan pembinaan itu.

“Kita juga akan teruskan gerakan pengumpulan tandatangan rakyat Hulu Selangor membantah cadangan pembinaan ini dan satu Memorandum Solidariti Rakyat Hulu Selangor menolak cadangan itu akan diserahkan kepada menteri besar dan Yang Dipertua Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS),” katanya.

Antara NGO terlibat ialah Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia, Majlis Belia Daerah Hulu Selangor, Majlis Pembangunan Wanita dan Keluarga Parlimen Hulu Selangor, Perkumpulan Perempuan Daerah Hulu Selangor, Kelab Rekreasi dan Pelancongan Daerah, Gerakan Belia 4B Kawasan Hulu Selangor dan Majlis Belia Felda Negeri Selangor.

Mat Nadzari yang juga Adun Batang Kali berkata, sekiranya projek pembinaan pusat judi lumba kuda itu diluluskan, ia dikhuatiri menggalakkan aktiviti perjudian.

Beliau berkata, kerajaan persekutuan telah berusaha untuk menamatkan cadangan pembinaan pusat lumba kuda tersebut sejak 10 tahun lalu dan tindakan menzahirkan semula cadangan itu perlu ditolak habis-habisan.

Baru-baru ini, rakyat Hulu Selangor dikejutkan dengan satu cadangan daripada sebuah syarikat multinasional untuk membina pusat judi lumba kuda di Bukit Tagar sehingga menimbulkan bantahan pelbagai pihak.

Kali pertama bantahan dibuat adalah pada 2005 iaitu ketika kerajaan negeri berada di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN).

Kemudian disusuli dengan bantahan sama daripada beberapa gabungan parti politik, ahli majlis MDHS, ketua dan ahli jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung (JKKK), nazir dan ahli jawatankuasa masjid, NGO serta pemimpin masyarakat di Hulu Selangor di hadapan pejabat MDHS yang menyerahkan memorandum kepada Yang Dipertua MDHS.

Antara kandungan memorandum tersebut menolak laporan kaji selidik sebuah universiti tempatan yang mengatakan lebih 50 peratus masyarakat Melayu di Hulu Selangor menerima pembinaan pusat judi lumba kuda tersebut dan menggesa kaji selidik dilakukan semula.

Dalam masa sama, pihak sekretariat tersebut berusaha mengumpul tandatangan bantahan penduduk Hulu Selangor di masjid dan surau sepanjang Ramadan ini dan akan disertakan bersama kaji selidik berkenaan.

Bantahan sama pernah disuarakan Pakatan Rakyat Merdeka Centre pada 2011 berserta kaji selidik tentang penolakan masyarakat Melayu terhadap pembinaan pusat judi tersebut. Bagaimanapun, setelah tiga tahun berlalu, syarikat multinasional yang berhasrat membina pusat judi itu sekali lagi mengemukakan permohonan berkenaan.