Tetapan Semula Kecilkan size fontKembalikan saiz font kepada asalMemperbesarkan saiz font
    T
    T
    T
jata2

PORTAL RASMI
PEJABAT DAERAH / TANAH HULU SELANGOR
BERDISIPLIN, AKAUNTABILITI, INTEGRITI, KERJA BERPASUKAN

 

Faq
Soalan
Lazim
HubungiKami
Hubungi
Kami
Aduan
Aduan dan
Maklum Balas
Peta
Peta
Laman

Bantah Cadangan Zon Hiburan

  • Antara beberapa cadangan pembangunan yang sedang dilaksanakan di Bandar Utama Batang Kali.Antara beberapa cadangan pembangunan yang sedang dilaksanakan di Bandar Utama Batang Kali.
< 1 / 1 >

BATANG KALI - Kerancakan pembangunan di Bandar Utama Batang Kali semakin mencuri tumpuan ramai pelabur dalam dan luar daerah ini malah kedudukannya yang strategik mendorong lebih banyak cadangan pembangunan dan penyediaan prasarana awam dikemukakan.

Bagaimanapun, cadangan untuk mewujudkan zon hiburan di bandar ini menerima bantahan ramai penduduk kerana menganggap tindakan itu hanya akan mengundang masalah sosial yang ketika ini disifatkan semakin sukar dibendung.

Penduduk, Mohd Nazli Mohd Noor, 41, nyata tidak bersetuju dengan cadangan tersebut dan baginya adalah lebih baik jika digantikan dengan pusat riadah.

“Saya tak setuju cadangan itu sebab bila banyak pusat hiburan, nanti gejala sosial akan meningkat dan masalah ini tak akan dapat dibendung.

“Kalau cadangan itu sudah dibawa ke peringkat perbincangan seeloknya ia ditolak sebelum sampai ke peringkat tertinggi,” katanya.

Menurutnya, kawasan ini telah dilengkapi pusat berinternet dan pusat hiburan lain justeru disarankan pihak berkuasa lebih memandang keperluan seumpamanya seperti pusat riadah yang lebih baik dan selamat.

Manakala, Rosli Omar, 58, berkata, menjadi tanggungjawab umum juga untuk memastikan generasi muda hari ini tidak leka dengan perkara keburukan seperti hiburan.

“Kami yang tua-tua memang tak setuju sebab kita tahu perkara ini tak elok kesannya macam gejala sosial.

“Jadi elok lebih ramai yang tampil untuk protes cadangan buat tempat hiburan ini,” katanya.

Suri rumah, Nor Azidah Idris, 40, mengakui terkejut apabila mendapat tahu adanya cadangan untuk mewujudkan zon hiburan.

“Lagi pun masalah sosial sekarang dah tak terkawal, remaja sekarang susah nak cakap macam mana tingkah laku mereka.

“Kalau dah buat pusat hiburan bertambah teruk lagi dan macam-macam masalah lain pula akan timbul,” katanya.

Dia mengesyorkan agar perkara itu dibantah dan mana-mana pihak yang mempunyai kuasa menyuarakan bantahan tersebut agar membawanya ke peringkat atasan untuk dihentikan.

Gesa cadangan ditolak

Sementara itu, Ketua Kampung Kuantan, Suhaimy Kamarudin berkata, secara peribadi beliau tidak menyokong cadangan tersebut memandangkan penduduk Batang Kali majoritinya beragama Islam.

“Pusat hiburan yang dah ada sekarang pun tak terkawal apatah lagi kalau ditambah.

“Kalau tanya orang kampung pun mereka tak akan setuju sebab sudah tahu apa kesannya,” katanya.

Beliau dalam pada itu berharap semua Ahli Majlis Daerah Hulu Selangor yang beragama Islam termasuk bukan Islam memberikan sedikit ruang dan menerima pandangan umum untuk menolak cadangan tersebut kerana ia melibatkan maruah Melayu dan Islam.

“Kami ketua kampung juga merasakan perkara ini tidak wajar dan mengapa dibuat di Batang Kali sedangkan dekat sini dah ada pusat hiburan Genting,” katanya.

Lebih perlukan hospital

Suhaimy berkata, penduduk Batang Kali lebih memerlukan sebuah hospital berbanding pusat hiburan malah jika diberi ruang adalah lebih baik kawasan Batang Kali dijadikan hub pendidikan.

“Jadi mengapa nak buat zon hiburan, kita lebih perlukan hospital di Hulu Selangor ini.

“Saya tegaskan wujudkan hospital pakar lebih baik supaya kita tak perlu lagi ke Selayang atau Sungai Buloh untuk dapatkan rawatan pakar,” katanya.

Mengulas mengenai usaha mengadakan bantahan beliau berkata, semua ketua kampung di kawasan Batang Kali akan mencapai kata sepakat menolak cadangan tersebut dan ia tidak perlu dikaji semula.

“Sebenarnya kita masih tidak jelas sama ada zon hiburan yang nak diwujudkan itu hanya pawagam, pusat boling atau pusat hiburan keluarga.

“Tapi kalau lesen dikeluarkan maka aktiviti hiburan lain yang melampau pasti akan menyelit. Sekarang pusat judi yang ada pun susah nak tangani apatah lagi kalau ditambah,” katanya.


Kemaskini pada 2015-01-08 17:26:39 daripada Administrator

  •  
  • Print
  • Email this page