Daerah Hulu SelaÂngor di utara adalah daerah terbesar daripada sembilan daerah di Selangor.
Terletak kira-kira 75 kilometer dari ibu kota, daerah ini pernah dikenali 'The Sleeping Hollow' kerana agak terpinggir dalam pembangunan berbanding daerah lain di Selangor.
Namun, kini, ia meÂngorak langkah dengan menggiatkan pembaÂngunan dan kemajuan di semua bidang selaras dengan visi Negeri Selangor ke arah Negeri Idaman, Maju dan Sejahtera.
Daerah itu terbahagi kepada 13 mukim iaitu Hulu Bernam (Utara dan Selatan), Kalumpang, Kuala Kalumpang, SuÂngai Gumut, Sungai Tinggi, Kerling, Ampang Pecah, Buloh Telur, Pertak, Rasa, Batang Kali, Hulu Yam dan Serendah.
Bagi anda yang merancang percutian singkat tetapi menghiburkan, Hulu Selangor tidak mengecewakan.
Air Terjun Sungai Sendat
Air terjun Sungai Sendat atau Hutan Lipur SuÂngai Sendat, Ulu Yam adalah lokasi bagi anda yang suka kedinginan air terjun.
Terletak kira-kira sejam dari ibu negara, Sungai Sendat menawarkan percutian dalam hutan dara yang mendamaikan.
Air terjun itu mempuÂnyai tiga tingkat dengan menyediakan kolam yang luas dan di tingkat kedua, kolamnya agak cetek dan tidak sesuai untuk berenang.
Jika berani, anda boleh mencuba menggelongsor dari kolam tingkat dua ke tingkat satu.
Kolam di tingkat tiga tidak begitu luas, tetapi kedalamannya sesuai untuk aktiviti berenang dan terjun tiruk.
Selain aktiviti mandi-manda, hutan lipur ini sesuai untuk aktiviti perkhemahan.
Ada tapak perkhemahan di sini disimen bagi keselesaan pengunjung.
Jika berkhemah di tepi air terjun, lebih meriah jika ada aktiviti barbeku seperti membakar ayam dan daging sambil mandi-manda.
Aktiviti meredah hutan dengan habuan penemuan pelbagai spesies flora dan fauna pasti mendamaikan.
Air Terjun dan Santuari Ikan Kelah, Sungai Chiling
Di Air terjun Sungai Chiling, anda boleh meredah hutan dan mandi bersama ikan kelah.
Walaupun agak jauh dari ibu kota, ia memiliki air terjun yang tercantik di Selangor.
Sungai Chiling bukan sahaja terkenal dengan keindahan air terjun dan aliran jeram yang jernih tetapi spesies ikan kelah yang mudah ditemui di celah aliran jeramnya.
Refreshing Spring Resort
Masih berasaskan kehijauan hutan hujan yang menghijau, Refreshing Spring Resort di Kampung Gumut, Hulu Selangor ini menjanjikan ketenangan di hujung minggu.
Ia hanya mengambil masa satu setengah jam dari ibu kota, Refreshing Spring Resort dikelilingi pepohon menghijau.
Dibina dalam kebun buah tropika, pengunjung berpeluang memetik pelbagai jenis buah-buahan.
Refreshing Springs Resort juga menawarkan platform yang baik untuk aktiviti 'teambuilding' dan kem motivasi.
Aktiviti yang pastiÂnya mengujakan anda ialah paintball dan di sini anda bagaikan merasa suasana peperangan sebenar.
Selesai bermain paintball, berendam air panas pastinya menghilangkan keletihan dan mengembalikan kesegaran badan.
Genting Strawberry Leisure Farm
Puas mendekatkan diri dengan kehijauan alam semula jadi dan kedinginan air terjun , aktiviti memetik buat strawberi pasti mengujakan anda terutama si kecil.
Ia adalah ladang strawberi terbesar di negara ini dan pertama seumpamanya di Genting Highlands.
Mengetengahkan konsep pertanian, perniagaan dan percutian, ia menyediakan pengalaman memetik strawberi khusus kepada peminat buah tanah tinggi ini.
Anda juga berpeluang melihat pelbagai hasil pertanian, antaranya pelÂbagai jenis pokok bunga dan cendawan.
Lokasi menjamu selera
Tidak hanya menyediakan lokasi percutian yang menyamankan dan menyeronokkan, Hulu Selangor turut menjadi lokasi 'Jalan-Jalan Cari Makan' yang pastinya mengujakan anda terutama pencinta makanan.
Antara yang harus
dicuba adalah Tat BengÂkulu Sungai Choh yang sangat terkenal dalam masyarakat Bengkulu dan sering dijadikan santapan kerabat diraja Bengkulu.
Selain itu, keenakan nasi kukus ayam dara Batang Kali, nasi periuk kera Kampung Orang Asli Sungai Liam dan Kedai Hailam Kuala Kubu Bharu pastinya tidak mengecewakan.
Kemaskini pada 2015-01-08 17:19:35 daripada Administrator