Soalan Lazim – Penguatkuasaan
- Apa itu Tanah Kerajaan?
Menurut seksyen 5 KTN, tanah kerajaan adalah semua tanah di dalam Negeri itu (termasuk sebanyak mana dasar mana – mana sungai, dan tepi pantai serta dasar laut, seperti yang adalah dalam lingkungan wilayah Negeri itu atau batas perairan wilayah) selain dari –
- Tanah beri milik
- Tanah rizab
- Tanah lombong
- Mana – mana tanah yang, di bawah peruntukan – peruntukan mana – mana undang – undang yang berhubungan dengan hutan (sama ada diluluskan sebelum atau selepas permulaan Akta), buat masa itu adalah hutan simpanan.
- Bolehkah saya menduduki @ mengusahakan tanah kerajaan?
Tidak Boleh dan adalah menjadi suatu kesalahan di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara (KTN) 1965 jika seseorang menduduki @ mengusahakan tanah kerajaan tanpa kebenaran yang sah.
- Adakah saya berhak mendapat pampasan sekiranya tanah yang saya usahakan tanpa izin hendak dibangunkan oleh Pihak Berkuasa?
Tiada pampasan yang berhak diterima kerana pampasan hanya akan diberikan kepada pemilik berdaftar tanah sahaja di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960. Ini kerana Tanah Kerajaan adalah bukan hakmilik mana-mana individu sebelum apa-apa proses pengambilan berlaku. Sebarang perusahaan di atas tanah tersebut sebelum proses pengambilan pengambilan berlangsung adalah menyalahi undang-undang dan boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 425 KTN.
- Boleh saya mengeluarkan bahan batuan (pasir) yang terdapat di dalam tanah saya sendiri?
Mana-mana orang boleh dengan syarat mendapat kelulusan permit Borang 4C iaitu Permit Untuk Memindah Bahan Batuan. Selain daripada itu, syarat kelulusan borang 4C adalah tanah persendirian tersebut mestilah bersaiz minima 20 ekar meliputi satu (1) lot tanah atau gabungan lot-lot yang bersempadanan dan permohonan adalah mesti melalui Pejabat Tanah Daerah (PTD).
- Bolehkah saya mengeluarkan bahan-batuan (tanah merah) yang terdapat di dalam tanah saya sendiri?
Mana-mana orang boleh dengan syarat mendapat kelulusan permit Borang 4C iaitu Permit Untuk Memindah Bahan Batuan. Selain daripada itu, syarat kelulusan borang 4C bagi pengeluaran bahan batuan berbentuk tanah merah untuk tanah persendirian adalah tanah tersebut mestilah melebihi 50 ekar dan dihantar kepada Jawatankuasa Teknikal Pemantauan dan Penyeragaman Bahan Batuan dan Mineral Negeri Selangor dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) untuk bidang kuasa kelulusan. Bagi tanah yang berkeluasan kurang daripada 50 ekar, bidang kuasa kelulusan pula adalah pada Pentadbir Tanah Daerah (PTD) sahaja. Syarat-syarat yang lebih terperinci boleh diperolehi melalui Pekeliling PTGS Bilangan 2/2016.
- Berapakah kadar kompaun yang dikenakan bagi setiap barang-barang yang disita?
Menurut Seksyen 426, amaun denda bagi kesalahan bersubahat dalam melakukan pencabutan atau pemindahan bahan batuan secara tak sah memperuntukkan denda sejumlah RM500,000.00 atau lima (5) tahun penjara atau kedua-duanya sekali bagi setiap kesalahan. Manakala menurut Seksyen 429B pula, Pengarah Negeri atau Pentadbir Tanah boleh mengkompaun individu/pihak yang melakukan mana-mana kesalahan yang dipastikan munasabah kesalahannya dengan kadar sejumlah wang yang tidak melebihi lima puluh peratus (50%) daripada keseluruhan amaun denda maksimum bagi kesalahan tersebut dalam suatu masa yang boleh dinyatakan dalam tawaran.
- Tanah saya telah diceroboh oleh pihak yang tidak diketahui, adakah perlu saya melaporkan kepada pihak Penguatkuasaan Pejabat Tanah?
Menurut Seksyen 114, semua tanah berimilik hendaklah tertakluk kepada syarat-syarat berikut:
- Tuan empunya tanah hendaklah mengambil semua langkah yang wajar untuk mencegah kerosakan, kemusnahan atau pengalihan tak sah tanda sempadan tersebut;
- Tuan empunya tanah hendaklah memberikan notis dengan serta-merta sekiranya terdapat pengalihan apa-apa barang di atas tanah hakmiliknya kepada Pentadbir Tanah atau kepada penghulu yang mempunyai bidang kuasa dalam kawasan tanah tersebut berada;
- Tuan empunya tanah hendaklah membayar kos pembaikan atau kos penggantian sebarang pengalihan tersebut jika dikehendaki oleh Pentadbir Tanah;
- Tuan empunya tanah hendaklah menggunakan perbelanjaan sendiri untuk membersihkan tanah hakmiliknya semula jika dikehendaki oleh Pentabir Tanah.
Kemaskini pada 2024-08-07 09:04:40 daripada Administrator