
PERNAH anda sampai ke Kuala Kubu Bharu? Jika kerana jaraknya terlalu dekat dengan ibu kota maka ia tidak ada tarikan apapun, anda sebenarnya tersilap.Dari sudut sejarahnya, Kuala Kubu Bharu sudah disenaraikan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO di bawah kategori 'Garden City Heritage'.
Pekan ini dibina pada tahun 1928 selepas banjir memusnahkan ibu kota daerah lama Hulu Selangor. Bagaimanapun sejarah daerah itu sebenarnya bermula lebih lama kerana di situ pernah berlaku aktiviti ekonomi perlombongan bijih timah.
Hari ini Kuala Kubu Bharu kaya dengan aktiviti ekopelancongan seperti mendaki di Bukit Kutu, menikmati kesejukan air terjun Chilling, 'water tubing' dan juga menunggang basikal gunung. Di sini, acara sukan tahunan sering diadakan antaranya luncur layar (paragliding), pertandingan basikal gunung dan arung jeram (white water rafting).
Pekan Kuala Kubu Bharu juga terkenal dengan seni dan warisannya menerusi seni mural yang memberikan memberikan suasana moden kepada pekan itu dengan penceritaan kisah berusia berdekad-dekad lamanya. Di situ juga ada lorong seni di sini yang diwujudkan bagi mengekalkan Kuala Kubu Bharu sebagai bandar bersejarah dengan kisah-kisah masyarakatnya, misalnya legenda buaya putih selain gastronomi tempatan yang unik. Semuanya diabadikan sepanjang lorong di pekan Kuala Kubu Bharu.
Lajak sedikit dari kawasan pekan, ambillah kesempatan untuk mendaki Bukit Kutu, sebuah stesen bukit kolonial terbiar yang terletak di puncak gunung setinggi 1053 meter. Bukit Kutu mempunyai laluan pendakian sepanjang 6.5 kilometer (km) yang memberikan anda pengalaman pendakian melalui pelbagai bentuk muka bumi, serta hutan tebal dan lintasan sungai. Secara purata, pejalan kaki mengambil masa sekitar dua hingga tiga jam untuk melengkapkan pendakian ke puncak.
Aktivti arung jeram di Sungai Selangor bagi mereka yang sukakan sukan lasak. (Foto ihsan Tourism Selangor)
Kesan tinggal kolonial
Antara keunikan Bukit Kutu, di situ anda akan temui kesan runtuhan zaman penjajah. Runtuhan ini adalah peninggalan stesen bukit kolonial British yang pernah wujud di atas bukit berkenaan. Ia juga menawarkan gambaran sekilas mengenai sejarah Selangor.
Puncak Bukit Kutu juga berfungsi sebagai tempat pemerhatian misalnya melihat bintang-bintang. Dari situ, anda boleh menikmati pemandangan bukit, hutan dan lembah di sekitarnya. Namun, anda perlu memperoleh permit terlebih dahulu dari Pejabat Hutan Daerah sebelum memulakan pendakian.
Sebuah lagi bukit yang tidak kurang menariknya untuk mereka yang suka mendaki ialah Bukit Batu Pahat. Bukit Batu Pahat ialah tempat mendaki yang popular di Hulu Selangor dan menariknya anda tidak memerlukan permit atau bayaran untuk memulakan misi anda. Ia boleh diakses menerusi Taman Tasik Millenium. Terletak 426 meter dari paras laut, secara purata perjalanan pendakian hanya mengambil masa antara satu hingga dua jam untuk sampai ke puncaknya. Bukan sahaja tempat mendaki ini disukai ramai pendaki, tetapi ia juga merupakan tempat berlepas untuk sukan luncur layar.
Bagi mereka yang suka aktiviti arung jeram, silakan ke Sungai Selangor. Hanya sejam pemanduan dari ibu kota, sungai dengan gred deras antara dua dan tiga itu, sesuai untuk mereka yang gemarkan aktiviti lasak. Namun jika anda hanya ingin menikmati pengalaman terapung di permukaan air, cubalah aktiviti 'water tubing' di Sungai Chiling. Pelambung disediakan, dan setelah pemasangan tiub selesai, pengunjung boleh menuju ke air terjun juga kawasan perlindungan ikan berhampiran untuk menikmati pengalaman baharu itu. Malah jika hanya ingin melepaskan penat sepanjang minggu bekerja, boleh saja berkelah di gigi air, menikmati keindahan air terjun Sungai Chiling. Jadi, rancang perjalanan anda sekarang ke Hulu Selangor dan pastikan anda mengunjungi Sungai Chiling.
Selain Sungai Selangor, satu lagi sungai yang tidak kurang menarik di kawasan Kuala Kubu Bharu adalah Sungai Pertak. Ia mengalir dan menelusuri kawasan peninggalan masyarakat Orang Asli dan masuk ke Empangan Sungai Selangor. Dikenali sebagai destinasi memancing dan berkhemah untuk keluarga dan pelawat dari Kuala Lumpur, peminat pacuan empat roda dan penunggang motor juga turut menyusuri beberapa laluan yang merentangi sungai ini.
Sungai Pertak mengalir dan masuk ke kolam yang dalam dengan air terjun kecil, berhampiran dengan kawasan penempatan. Sungai ini juga berfungsi sebagai titik permulaan untuk pendaki ke Bukit Kutu. Untuk pengunjung yang ingin melawati kawasan pelancongan ini, pengunjung boleh mengambil jalan utama ke Kampung Pertak sehingga ke penghujung kampung.

Kerdipan bintang
Potensi Kuala Kubu Bharu sebagai tempat tarikan pelancong sudah lama disedari. Susulan itu banyak program berkaitan sudah dan akan dilaksanakan. Anranya program 'Wings of Kuala Kubu Bharu' yang mula diperkenalkan pada tahun 2012 bagi mempromosikan aktiviti memerhati burung di kawasan itu. Sejak ia dimulakan banyak sekolah dan institut pengajian tinggi ikut serta dalam pelbagai program berkaitan antaranya pertandingan fotografi dan lukisan. Untuk tahun ini, program itu berlangsung pada Mei lalu.
Satu lagi keunikan Kuala Kubu Bharu ialah, anda boleh menikmati kerdipan bintang di Empangan Sungai Selangor. Dikelilingi oleh bukit-bukit, Kuala Kubu Bharu sentiasa menjadi destinasi utama yang terletak paling dekat dengan bandar Kuala Lumpur untuk aktiviti memerhati bintang. Anda boleh bermalam di sini dan berkhemah atau memerhati bintang dari puncak bukit.
Kemaskini pada 2024-10-17 08:25:08 daripada Administrator