
HULU SELANGOR – Kejayaan luar biasa direkodkan seorang pelajar Maahad Tahfiz Al-Fateh di sini apabila berjaya menamatkan Syahadah Ula iaitu pengiktirafan tertinggi dalam hafazan al-Quran, dalam tempoh 18 jam 15 minit dengan hanya satu kesalahan bacaan.
Muhammad Hadif Mohd Shamir, 16, yang juga barisan kepimpinan pelajar sesi 2024/2025, mencipta sejarah peribadi itu pada 23 Jun lalu di hadapan guru-guru bertauliah di institusi berkenaan yang terletak di Batang Kali.
Mudir Maahad Tahfiz Al-Fateh, Ahmad Lutfi Paridin berkata, Syahadah Ula adalah satu bentuk pengiktirafan tertinggi dalam bidang hafazan al-Quran yang menandakan seseorang telah berjaya menghafaz keseluruhan 30 juzuk al-Quran dengan sempurna dan melalui ujian hafazan dalam tempoh sehari dengan tidak melebihi 10 kesalahan."Majlis pengesahan hafazan itu turut dihadiri oleh kedua ibu bapanya yang menyaksikan dengan penuh rasa syukur dan bangga."Suasana bertukar penuh emosi apabila Muhammad Hadif dipeluk erat ahli keluarganya sebaik sahaja selesai sesi pengesahan hafazan," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Menurut beliau, kejayaan itu bukan sahaja hasil ketekunan dan usaha gigih Muhammad Hadif, malah menjadi simbol pengorbanan besar kedua ibu bapanya dalam mendidik anak mengikut acuan Islam dan menuju reda Ilahi.
Ujarnya, kejayaan tersebut menjadi inspirasi kepada pelajar lain untuk terus berusaha menjadi hafiz yang bukan sahaja menghafaz, tetapi turut menghayati dan menyampaikan al-Quran kepada masyarakat.
“Diharapkan Muhammad Hadif dan para huffaz yang lain terus maju dalam perjalanan ilmu dan kepimpinan, seterusnya menyumbang kepada pembangunan ummah melalui al-Quran,” katanya.
Beliau memberitahu, Maahad Tahfiz Al-Fateh yang kini mempunyai seramai 97 pelajar lelaki dan perempuan, berwawasan melahirkan huffaz berkepimpinan yang sejahtera rohani dan jasmaninya.
Orang ramai yang ingin turut sama menyokong usaha ini boleh menyumbang melalui akaun Agrobank 1005 4810 0007 7483 atas nama Maahad Tahfiz Al-Fateh atau layari laman sesawang rasmi https://alfateh.edu.my serta media sosial Facebook Maahad Tahfiz Al Fateh dan TikTok dunia_alfateh.
Kemaskini pada 2025-07-03 07:20:44 daripada Administrator