KUALA KUBU BHARU - Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) enggan melayan permintaan peniaga bazar Ramadan Tesco Bukit Beruntung dan mendakwa segala tuduhan yang dibuat terhadap majlis semuanya tidak berasas.

Yang dipertua (YDP) MDHS, Mohamad Zain A Hamid menjelaskan, bayaran ganti rugi RM500 kepada setiap peniaga tidak akan diberi kerana tiada langsung tindakan merampas perkakas perniagaan seperti didakwa peniaga.

Menurutnya, pihak penganjur yang sepatutnya bayar ganti rugi serta memulangkan semula bayaran sewa petak yang telah dikutip daripada peniaga terlibat.

“Kita hanya menyita barang perniagaan setelah peniaga gagal mematuhi notis yang dikeluarkan untuk ikut arahan dikeluarkan majlis.

“Walau bagaimanapun pihak MDHS memulangkan semula peralatan tersebut setelah peniaga peniaga bersetuju untuk  berpindah ke tapak yang disediakan atas ihsan pihak majlis setelah perbincangan di  tapak,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Kelmarin, sekumpulan peniaga, ahli Perkasa dan Kelab Usahawan Selangor menyerahkan memorandum bantahan terhadap tindakan MDHS yang enggan beri kebenaran kepada peniaga bazar Ramadan menjalankan perniagaan di Tesco Bukit Beruntung.

Zain berkata, pihaknya juga menolak semua bantahan dibuat dan ia sebagai tuduhan tak berasas dan cuba menjatuhkan nama baik MDHS.

“Untuk makluman, MDHS telah menganjurkan Program Bazar Ramadan Mampan setiap tahun. Kita telah tetapkan lokasi-lokasi tertentu mengikut kesesuaian berdasarkan kajian dijalankan dan dipersetujui melalui jawatankuasa ditubuhkan serta maklum balas masyarakat setempat dibuat melalui aduan yang diterima saban  tahun.

“Penyelarasan dan urusan berkaitan bazar Ramadan ini selesai 24 Mei lalu dan pihak kita juga sudah menyatakan perkara itu melalui akhbar utama dan tempoh jualan borang mulai 1 hingga 15 April seterusnya makluman kepada peniaga pada 30 April," katanya.

Beliau berkata, bagaimanapun terdapat pihak lain yang tidak bertanggungjawab menganjurkan bazar Ramadan di tapak parkir Tesco Bukit Beruntung tanpa berunding dan merujuk kepada pihak MDHS terlebih dahulu.

Menurutnya, permohonan dari pihak tersebut hanya diterima pada 3 Jun 2015 sehari sebelum Mesyuarat Jawatankuasa Kawalan Perniagaan MDHS 2015 dan hanya dua minggu sebelum Ramadan bermula.

Katanya, mesyuarat telah menolak permohonan tersebut bagi menjaga kepentingan peniaga lain yang telah berdaftar dengan MDHS dan terlibat dengan program Bazar Ramadan Mampan, surat bertarikh 10 Jun telah dihantar untuk makluman.

“Jadi, dakwaan MDHS lambat beri makluman adalah tidak berasas kerana permohonan itu sendiri sudah terlalu lewat untuk diproses.

“MDHS tidak teragak-agak ambil tindakan lanjut sekiranya pihak bertanggungjawab tidak selesaikan isu segera ini kerana ianya telah cemar nama baik MDHS,” tegasnya.