BUKIT BERUNTUNG - Tiga parah selepas sebuah bas ekspres melanggar pembahagi jalan kemudian terbalik di lebuhraya Utara Selatan (Plus) kilometer 431.5 arah selatan, Bukit Beruntung, tengah malam kelmarin.
 
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan R. Supramaniam mengesahkan, mangsa yang cedera parah melibatkan pemandu bas, Azam Azari Normit, 37, penumpang bas, Leong Suen Sen, 47 dan Teow Chee Keong, 17.

“Kesemua mangsa berasal dari Perak berdasarkan alamat di kad pengenalan mereka. Manakala butir penumpang lain masih belum diperoleh lagi,” katanya, semalam.

Menurutnya, ketika kejadian berlaku, pemandu bas gagal mengawal kenderaan dan melanggar pembahagi jalan sebelah kiri dan bas kemudian terbalik dan melintang di lorong pertama dan kedua lebuh raya.

“Bas dipandu dari Ipoh itu dalam perjalanan ke Kuala Lumpur membawa tujuh penumpang.

“Cuaca baik ketika kemalangan berlaku tetapi kawasan kemalangan gelap dan tiada lampu jalan,” katanya.

Tambah beliau, punca kemalangan dipercayai akibat pemandu gagal mengawal kenderaan dan menyebabkan kemalangan.

“Penumpang yang cedera kemudian dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk menerima rawatan lanjut,” katanya.