KUALA KUBU BHARU - Lagu hari raya  kedengaran bergema di Rumah Ehsan.

Namun rumah orang tua yang terletak di pinggir Kuala Kubu Bharu itu seakan sepi dan sayu dengan kumpulan warga emas yang sudah lama ditinggalkan di situ mengharap belas kasihan kakitangan di situ saja yang menjaga makan minum mereka.

Ada yang tiada waris, namun ada juga  ditinggalkan anak sejak 10 tahun lalu hingga memaksa insan yang tiada daya terpaksa tinggal di situ tetapi, masih mengharapkan anak akan datang dan mengambilnya pulang.

Setiap hari, seorang warga emas wanita berusia 68 tahun, menunggu anak-anaknya mengambilnya dan membawanya pulang tetapi, harapan hanya tinggal harapan.

"Mereka janji nak hantar makcik ke sini tiga hari je, tapi sampai 10 tahun dah makcik tunggu sini, dorang tak datang ambil pun.  Makcik nak balik... nak tengok cucu, nak sambut raya dengan anak-anak...,” katanya sayu sambil menyika air mata yang jatuh di pipi.

Sambil bercerita, mulutnya tidak henti-henti mengulangi janji anak-anaknya yang mahu mengambilnya kembali selepas tiga hari.

"Janji tiga hari, tapi sampai 10 tahun, kenapa tak mahu ambil  mak. Kita ingat dia... dia tak ingat kita. Sampai hati tipu mak, janji tiga hari...” omelnya sendiri sambil menangis.

Menurutnya, dia mempunyai tiga anak iaitu dua perempuan dan seorang lelaki namun kesemuanya enggan menghiraukannya.

“Seingat makcik, ada sekali saja mereka datang menjenguk, lepas tu tak ada dah. Bila dorang datang sini pun makcik dah tak ingat.

“Dulu, untuk sara anak-anak, makcik kerja siang, malam pula sambung ambil upah menjahit baju. Suami jarang pulang ke rumah sebab kerja jauh. Jadi, makcik kena bekerja untuk tampung perbelanjaan anak-anak sekolah.

“Disebabkan buat dua kerja dalam satu masa, makcik terlalu penat sampai satu hari tu, makcik tertidur masa bawa motor dan dilanggar kereta.

"Makcik cedera parah. Sejak itu, anak-anak tidak mahu jaga makcik, suami pun tinggalkan makcik dan kahwin dengan perempuan lain. Sekarang ini pun makcik tak larat jalan, kaki patah tiga akibat kemalangan dan ada pula ketumbuhan di bahu.

“Tapi makcik reda, mungkin ini bahagian makcik, duduk sini pun ramai yang sayang kita, tapi bila ingatkan anak-anak, air mata ni memang tak pernah kering keluar,” katanya.

Dia turut mengharapkan sinar Syawal tahun ini menjadi lebih bermakna buat dirinya.

“Mana tahu lepas ni anak makcik datang dan ambil makcik balik kan...” ujarnya penuh mengharap sambil melemparkan senyuman.

Sembunyi duka dalam senyuman

Hanya mahu dikenali sebagai Abdul Aziz, seorang lagi warga emas  mengaku sudah berada di situ sejak dua tahun lalu.

“Tahun ini tahun kedua pakcik beraya di sini, akibat lumpuh selepas terkena serangan angin ahmar, pakcik diletakkan di sini. Tak apalah, tak nak menyusahkan anak-anak, biarlah pakcik duduk sini,” ujarnya sayu.

Enggan berkongsi lanjut masalah peribadinya, Abdul Aziz lebih senang bercerita ringkas  perihal anak-anaknya.

“Selepas terlantar terlalu lama di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan tiada sapa lagi mahu menjaga, pakcik ditempatkan di sini. Ada anak dua anak lelaki tetapi, mereka semua ada kerja sendiri dan pakcik tak mahu susahkan mereka.

“Pakcik sudah berpisah dengan isteri, jadi harapkan anak-anak sajalah yang datang menjenguk. Kawan-kawan pakcik pun selalu menjenguk ke sini jadi, kuranglah rasa sunyi,” katanya.

Menurut Abdul Aziz, sepanjang bulan puasa, anak-anaknya masih belum berkesempatan menjenguknya dan berbuka puasa bersama.

“Mungkin mereka sibuk, tak apalah, pakcik faham. kali terakhir mereka datang sini, bulan Mac lepas, raya ni tak tahulah mereka datang ke tak. Tapi ikut macam tahun lalu, di sinilah tempat pakcik,” ujarnya sayu.