KUALA KUBU BHARU - Meski ditempatkan di rumah orang tua, masih ada lagi sinar kegembiraan lebih 100 warganya di situ. 

Ketika rakan lain seusia mereka menghabiskan sisa hidup bersama anak dan cucu tersayang, mereka terpaksa menghabiskan usia emas di Rumah Ehsan, Kuala Kubu Bharu.

Bagi Jasni Abu, 50, sambutan Aidilfitri tetap bermakna kerana masih lagi dapat menyambut perayaan itu bersama keluarga.

“Pakcik sudah menetap di sini sejak 2012 lagi. Disebabkan diserang demam panas masa umur 23, kuman menyerang hingga bahagian dada hingga menyebabkan pakcik lumpuh dari bahagian dada sampai ke kaki.

“Pakcik tiada anak. Sejak usia 23 lagi sudah sakit terlantar macam ni. Takda siapa yang nak pun.

“Masa awal kena sakit ni memang tak boleh terima sebab tak boleh buat apa. Dari dada sampai bawah tak rasa apa. Sampai pernah termimpi-mimpi boleh berjalanlah,” ujarnya sambil berseloroh.

Tidak menafikan kedatangannya ke Rumah Ehsan suatu ketika dahulu mengundang sepi di hati kerana tiada rakan yang boleh dibuat teman berbicara.

“Tapi bila dah lama-lama duduk sini ok saja. Seronok bila dah ada kawan sembang. Kawan pakcik yang paling rapat jiran sebelah katil sajalah. Nak berjalan tak mampu jadi kita sembang jelah dengan orang katil sebelah,” katanya kepada Sinar Harian.

Lagu rock 80-an sentiasa bergema di tangan Jasni menandakan itu saja hiburan yang ada bagi mengubat kesunyian.

“Kalau takda lagu ni sunyilah pakcik. Tapi katil ni dekat dengan tv, malam-malam boleh tengok bola,” katanya sambil tertawa.

Walaupun terpaksa tinggal di rumah orang tua, hari raya Jasni tetap meriah kerana dapat disambut bersama adik-beradiknya yang lain.

“Pakcik datang sini pun sebab kakak yang selama ni jaga pakcik dah tak larat, jadi terpaksalah mengharap belas ehsan orang lain jaga makan pakai di sini.

“Tetapi selalunya hari raya pakcik akan balik kampung di Alor Gajah, Melaka. Dapatlah merasa suasana raya di kampung sendiri dengan beraya bersama sembilan beradik,” katanya.


Anggap anak orang lain macam anak sendiri

Berbeza pengalaman dengan Jasni, Siti Hawa Hamid, 80, ditempatkan di Rumah Ehsan kerana sudah tiada waris.

“Nenek tak pernah berkahwin. Selepas ibu meninggal lepas melahirkan nenek, nenek dijaga nenek pula.

“Sampai dewasa nenek yang jaga selepas ibu dan ayah meninggal. Nak duduk dengan anak, kita ni tak pernah kahwin. Tiada waris yang boleh jaga nenek, jadi si sini sajalah tempat nenek,” katanya.

Siti Hawa berkata, kehidupannya di situ tidak pernah sunyi kerana sentiasa ada yang sudi melawat.

“Selalunya anak kawan-kawan yang ada di sini datang jumpa nenek. Mereka sembang-sembang dan tanya khabar.

“Merekalah anak-anak nenek. Nenek anggap mereka macam anak sendiri sebab walaupun sekadar melawat, itu sudah besar maknanya buat kami di sini,” katanya.

Meskipun usianya sudah lanjut, namun Siti Hawa tidak mempunyai sebarang penyakit.

“Cuma kaki ni masih lagi terasa sakit selepas jatuh semasa mahu pulang dari solat tarawih dulu. Nenek dulu sekolah Arab. Jadi, mengaji al-Quran sudah jadi rutin dari zaman muda sampailah sekarang.

“Makan nasi pun sikit-sikit saja dari dulu. Kalau sebungkus nasi lemak pun nenek terpaksa makan berulang kali baru boleh habis. Makan sesuap dua lepas tu dah kenyang. Agaknya sebab tu lah tak ada penyakit,” katanya sambil ketawa.

Menurutnya, hingga kini dia masih lagi mampu berpuasa walaupun umur sudah memasuki usia emas.

“Rakan lain ramai yang sudah uzur tapi nenek larat lagi puasa.

“Mungkin juga sebabkan amalkan makanan sihat sejak muda jadi penyakit pun tak datang. Alhamdulillah, sihat dan tak ada sakit apa pun sekarang,” katanya.


Nenek meninggal pada bulan Ramadan

Mengimbau kenangan lalu, Siti Hawa sempat berkongsi kisah duka menjelang Syawal.

“Nenek yang menjadi pengganti ibu meninggal ketika nenek berusia 18 tahun. Dia meninggal masa lagi dua hari lagi nak sambut raya.

“Masa tu memang rasa gelap dunia sebab dia yang paling rapat dengan nenek. Sudahlah orang mahu beraya, nenek pula meninggal.

“Lepas tu, tugas jaga nenek diambil-alih oleh ibu saudara,” katanya.

Bercerita sambutan Aidilfitri di Rumah Ehsan, Siti Hawa berkata, ia tetap meriah seperti orang lain.

“Pegawai di sini baik-baik semuanya. Tak ada rasa asing pun dan kita anggap semua di sini seperti saudara sendiri.

“Persiapan raya dari buat ketupat rendang semua dibuat di sini. Walaupun kami dah tak larat sangat tapi dapatlah merasa tengok mereka buat persiapan.

“Hari raya pun pegawai beraya di sini, jadi sambutan raya tetap meriah,” katanya