SUNGAI BUAYA - Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) menurunkan lima iklan haram dibina tanpa permit di sepanjang jalan di Lebuhraya Utara Selatan (Plus) dari Sungai Buaya hala ke Rawang.

Penolong Pegawai Penguatkuasa, Bahagian Penguatkuasaan dan Keselamatan MDHS, Khairul Nizam Mohamed Khanafi berkata, pihaknya terpaksa membuat operasi merobohkan struktur papan iklan itu kerana tiada permit.

“Tindakan itu dilakukan selepas kita menerima notis untuk merobohkan struktur papan iklan itu.

“Ia dibuat di bawah Seksyen 70 (1) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 kerana mendirikan struktur papan iklan tanpa kebenaran gagal dipatuhi pemilik papan iklan tersebut,” katanya.

Menurutnya, operasi dilakukan pada Jumaat lalu disertai lapan anggota penguatkuasa dan empat lagi anggota peronda Plus.

“Pihak kita cukup komited dalam menjalankan tanggungjawab ini selain memastikan imej MDHS tidak terjejas.

“Ini juga bagi membuktikan MDHS cukup tegas dalam menangani masalah iklan haram yang dibina tanpa kebenaran. “Kerja merobohkan juga bukan senang kerana struktur papan iklan gergasi itu cukup besar dan kita terpaksa ambil masa agak panjang untuk proses menurunkan papan iklan tersebut,” katanya.