
RASA - Unit Penguatkuasa Pejabat Tanah dan Daerah Hulu Selangor dengan serta-merta telah menyita kawasan yang dilaporkan melakukan aktiviti mencuri pasir selepas mendapat aduan.
Pegawai Daerah, Mohd Fauzi Mohd Yatim berkata, tindakan menyita itu dibuat untuk mengelakkan kawasan itu terus dicerobohi dan bagi menghentikan kerja korek pasir dilakukan.
“Kita telah arahkan kakitangan penguat kuasa untuk menyita tempat itu selepas sahaja kita terima aduan.
“Kita tidak mahu mereka teruskan aktiviti korek pasir selagi dokumen yang membuktikan tanah itu merupakan tanah persendirian ditunjuk kepada kita,” katanya.
Kelmarin, Sinar Harian melaporkan aduan berlakunya aktiviti curi pasir bersebelahan kolam ikan di Rasa.
“Anggota saya juga sudah mengarahkan pengusaha kawasan itu untuk menunjukkan dokumen kepada kita dalam minggu ini juga kerana kita mahu pastikan kawasan itu milik tanah persendirian atau tanah kerajaan.
“Jika dibuat atas tanah kerajaan, tindakan lebih tegas akan kita kenakan terhadap penceroboh tanpa teragak-agak,” katanya.
Menurutnya, kawasan tanah itu mungkin milik kerajaan dan berlaku pencerobohan di kawasan tersebut.
“Tetapi itu semua saya tidak boleh pastikan lagi buat masa ini. Kita akan siasat perkara ini sejurus kita terima dokumen yang diperlukan.
“Tanah itu mungkin milik Perbadanan Setiausaha Kerajaan Selangor yang diselenggarakan Perbadanan Negeri Selangor Berhad (PNSB) atau milik persendirian,” katanya.
Kemaskini pada 2015-09-02 08:51:00 daripada Administrator