
KUALA KUBU BHARU - Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) memberikan potongan cukai sehingga 50 peratus kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU) bermula bulan ini.
Yang Dipertua MDHS, Mohamad Zain A Hamid berkata, kelebihan ini boleh dinikmati kepada semua golongan OKU di daerah ini.
“Sebenarnya, ini adalah dasar kerajaan negeri yang membenarkan permohonan dari OKU untuk diberi diskaun sebanyak 50 peratus dari cukai semasa.
“Kelebihan ini terbuka kepada semua golongan OKU tetapi dengan syarat semua tunggakan mesti dibayar terlebih dahulu.
“Potongan ini juga hanya tertakluk kepada cukai semasa saja,” katanya kepada Sinar Harian selepas Mesyuarat Penuh MDHS, Isnin lalu.
Beliau berkata, permohonan juga mesti dibuat OKU sendiri dan bukan melalui wakil keluarga.
“Premis itu juga hendaklah dimiliki OKU sendiri dan bukan premis yang disewa.
Dalam pada itu, Ahli Majlis MDHS, June Leow berkata, dasar itu sudah bermula sejak 2013 lagi tetapi tidak dijalankan sepenuhnya pihak majlis.
“Kita perlu jalankan juga dasar kerajaan negeri ini bagi memastikan kita dapat mengumpul lebih banyak kutipan tunggakan kerana sudah banyak yang gagal jelaskan tunggakan.
“Kawasan yang paling banyak berhutang dan tidak membayar cukai melibatkan kawasan di Bukit Beruntung dan Bukit Sentosa.
“Tunggakan di dua kawasan ini yang menjadi kawasan tertinggi gagal jelaskan cukai iaitu kira-kira 70 peratus daripada jumlah tunggakan di MDHS,” katanya.
Beliau berkata, dengan kemudahan yang ditawarkan ini, golongan OKU diharap dapat menjelaskan cukai dan tidak melepaskan peluang yang ada ini.
Kemaskini pada 2015-10-02 10:04:28 daripada Administrator