BUKIT BERUNTUNG - Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) Hulu Selangor berjaya memusnahkan sarang lebah yang mengganggu ketenteraman penduduk di Jalan Widuri, kelmarin.

Pegawai JPAM Hulu Selangor, Jimmy Alberto Tining berkata, anggotanya bergegas ke kawasan perumahan tersebut pada jam 8 malam selepas menerima panggilan kecemasan berhubung penemuan sarang lebah berkenaan.

“Seramai empat anggota dikerahkan untuk musnahkan sarang lebah itu dan setibanya anggota di tempat yang dilaporkan, kami menemui sarang lebah bersaiz agak besar.

“Sarang lebah berkenaan ditemui di atas pokok di belakang rumah penduduk kira-kira tiga meter tinggi.

“Kami mengambil keputusan untuk bakar dan musnahkan sarang lebah berkenaan bagi mengelakkan ia menyerang dan mengganggu ketenteraman penduduk,” katanya.

Menurutnya, anggota JPAM mengambil masa kira-kira setengah jam untuk memusnahkan sarang lebah berkenaan.

“Diharapkan, tiada lagi kesan atau lebihan lebah berada di atas pokok itu kerana ia mampu mengganggu keselamatan penduduk kerana pokok berkenaan terletak hampir dengan kediaman penduduk,” katanya.

Beliau berkata, tindakan pantas orang ramai membuat aduan juga menyelamatkan keadaan di kawasan itu kerana lebah mampu bertindak agresif jika habitatnya diganggu.

“Diharap orang ramai akan terus berkongsi maklumat dan berhubung dengan JPAM Hulu Selangor jika ada sebarang bantuan yang diperlukan.

“Kami sedia berkhidmat tidak kira masa dan tenaga demi menjamin keselamatan penduduk setempat,” katanya.