
KUALA KUBU BHARU - Sebuah rumah yang dijadikan stor menyimpan barangan keperluan rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Kelapa, petang kelmarin.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu, Kamil Hamadan berkata, kejadian itu berlaku berhampiran kem askar menghala ke Bukit Fraser.
“Pihak kami terima panggilan kira-kira jam 4.58 petang dan kami sampai di lokasi kejadian jam 5.10 petang. Kebakaran melibatkan tiga pintu bangunan stor itu berkeluasan 120 x 100 kaki persegi dan telah terbakar 60 peratus.
“Kita juga terpaksa gunakan khidmat jentera dari Balai Bomba Rawang kerana kebakaran agak besar. Api kemudian berjaya dikawal pada jam 7.15, tiada kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya, semalam.
Menurutnya, api marak dengan sangat cepat akibat susunan barangan di stor tersebut sangat rapat dan banyak bahan dari kayu yang disimpan menyebabkan kebakaran merebak dengan pantas.
“Stor itu simpan barangan seperti plastik dan kayu yang memang menyebabkan api marak dengan cepat.
“Tapi punca kebakaran hingga kini masih dalam siasatan. Jumlah anggota yang kita hantar berjumlah 29 orang. Ini termasuk 10 anggota yang terpaksa mengawal api hingga malam tadi (kelmarin), dan operasi tamat sepenuhnya pada jam 12.53 pagi,” katanya.
Kemaskini pada 2016-02-04 16:47:38 daripada Administrator