
HULU YAM - Penduduk Hulu Yam meluahkan rasa tidak puas hati selepas gelanggang bola keranjang yang siap dibina untuk penduduk kampung didakwa tidak mengikut spesifikasi keselamatan yang sepatutnya.
Penduduk Ng Tong Shuan, 55, berkata, gelanggang itu dibina Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) bermula Oktober dan siap sepenuhnya pada Disember lalu.
“Kami kecewa sebab ia siap dengan keadaan tak sempurna.
“Simen tak rata, paku pula bersepah-sepah dan ada yang terpacak di tengah gelanggang. Keadaan tiang penyokong papan jaringan yang dibina pula tak kukuh...agak bahaya untuk anak muda yang mahu main bola keranjang di sini,” katanya.
Bagi Tan Kok Wa, 65, dia mengakui gelanggang tersebut dibina hasil suara penduduk bagi memudahkan anak muda melakukan aktiviti riadah.
“Tetapi bila siap, kami kecewa kerana ada aspek keselamatan yang diabaikan.
“Tak tahulah sama ada berlaku salah faham di pihak kontraktor tapi kalau boleh, kami mahu ia dibetulkan segera bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku,” katanya.
Adun Batang Kali, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan berkata, beliau mahu gelanggang itu dibaiki semula.
“Saya selaku Adun di kawasan ni berasa sangat dukacita kerana sepatutnya gelanggang itu digunakan untuk orang awam tapi bila siap, keadaannya tak sempurna.
“Pihak bertanggungjawab perlu lihat keadaan tapak permainan ini secara keseluruhan dan saya mohon supaya ia dibaiki bagi memastikan keselamatan penduduk terjamin,” katanya.
Kemaskini pada 2016-02-22 08:14:10 daripada Administrator