FELDA GEDANGSA - Dua pengedar termasuk sembilan penagih dadah berjaya dicekup Jabatan Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Selangor dalam Op Sarang di ladang kelapa sawit di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan R Supramaniam berkata, serbuan dibuat di felda berkenaan bermula jam 4 pagi dan berakhir jam 12 tengah malam.

“Seramai tiga pegawai dan 32 anggota kita turun padang bagi menyerbu port penagihan.

“Dalam operasi berkenaan kita berjaya rampas dadah jenis heroin seberat 157.64 gram, syabu 0.70 gram dan heroin seberat 157.27 gram dalam rampasan berasingan,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, seorang lelaki dipercayai terlibat dalam kes pengedaran dadah berjaya dicekup di bawah Langkah Pencegahan Seksyen 3 (1) Akta Dadah Berbahaya 1985.

“Satu lagi tangkapan turut dibuat melibatkan seorang lagi pengedar di bawah Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Menurutnya lagi, sembilan penagih turut berjaya dicekup dalam operasi berkenaan.

“Pihak kami mahu beri peringatan kepada semua operasi ini akan diadakan secara berterusan bagi memastikan Hulu Selangor bebas dari dadah. Orang ramai yang punya maklumat juga disaran beri maklumat terus kepada polis bagi membantu kami menyiasat dan membongkar kegiatan terbabit,” tegasnya.