KUALA KUBU BHARU - Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) meluluskan usul penangguhan pelaksanaan sistem parkir berbayar sehingga Jun ini, bagi menyelesaikan beberapa isu bersama kontraktor parkir.

Yang Dipertuanya, Mohd Zain A Hamid berkata, sistem itu hanya akan ditangguhkan kerana ia sepatutnya dijalankan bermula April ini dan tidak akan dibatalkan.

Menurutnya, pihaknya juga bersetuju menubuhkan unit undang-undang yang diketuai peguam dan dibantu wakil ketiga-tiga parti iaitu DAP diwakili Ong Thiam Hock, PKR diwakili Ketua Cabang PKR Hulu Selangor, June Leow dan Pas diwakili Yang Dipertua Pas Kawasan Hulu Selangor, Hasnizan Harun, untuk menyelaras segala isu perundangan bersama kontraktor.

Mohd Zain berkata, antara isu yang akan dibincangkan ialah mengenai kontrak, tarikh dan tempoh kuat kuasa serta kesan jika tidak mematuhi kontrak dan beberapa isu lain.

Jelasnya, hasil pelaksanaan sistem parkir itu juga tidak akan memberi keuntungan kepada pihaknya sebaliknya mereka hanya mahu memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

“Kutipan yang dapat nanti, kami akan pulangkan semula kepada rakyat dengan memberi perkhidmatan sistem pembersihan di kawasan tidak membayar cukai seperti kampung,” katanya kepada Sinar Harian selepas Mesyuarat Penuh MDHS, Jumaat lalu.

Menurutnya, cukai pintu rakyat saja tertunggak sehingga RM70 juta dan tidak sepatutnya hasrat pihaknya mahu melaksanakan sistem parkir berbayar menjadi isu.

Beliau berkata, pihaknya kini masih lagi menanggung hutang rakyat yang enggan membayar cukai namun tetap memberi perkhidmatan terbaik.

“Rakyat mahu kami beri perkhidmatan terbaik, tapi tanggungjawab mereka untuk bayar cukai enggan dipenuhi.

“Kos mengutip sampah di kawasan komersial RM8, tapi peniaga hanya bayar 55 sen dan selebihnya majlis yang tanggung,” katanya.

Mohd Zain berkata, kos pembersihan longkang pula menelan belanja 40 sen setiap satu meter persegi manakala kos memotong rumput 20 sen bagi setiap satu meter persegi.

Tegasnya, beliau mahu isu hutang cukai pintu enggan dibayar rakyat yang dijelaskan kepada semua, bukan isu parkir yang dibesarkan dalam media sosial.

“Apa yang menjadi masalah, hutang itu kini terpaksa ditampung menggunakan subsidi atau duit rakyat yang sudah bayar cukai.

“Bukan kami mahu kaut untung dengan laksanakan parkir berbayar, tapi hanya mahu bantu mengekalkan perkhidmatan sedia ada.

“Kami kini menanggung kerugian yang besar, tetapi dikatakan pula tidak pentingkan rakyat. Sedangkan kerugian besar itu ditanggung demi kepentingan rakyat,” katanya.