SERENDAH - Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Hulu Selangor membuat serbuan ke atas sebuah premis perniagaan sekitar Serendah di sini, semalam kerana disyaki menjual kopi tradisi tiruan.

Ketua Penguatkuasa PPDNKK Hulu Selangor, Ahmad Zamri Che Long berkata, operasi yang turut mendapat kerjasama KPDNKK Putrajaya itu dilakukan berikutan pihaknya mendapat aduan ada premis yang menjual kopi tiruan yang mempunyai tahap keracunan tinggi.

“Pengadu sendiri datang ke KPDNKK Putrajaya buat aduan. Dia ambil inisiatif beli produk tiruan ini dan hantar ke sebuah makmal untuk diuji.

“Hasil ujian mendapati kopi tiruan berkenaan mempunyai tahap racun yang tinggi dan boleh jejaskan kesihatan pengguna,” katanya.

Menurutnya, pihaknya akan terus mempergiatkan lagi operasi dari masa ke semasa bagi membanteras kegiatan penjualan produk palsu atau tiruan kepada orang ramai bagi melindungi pengguna.

“Nilai produk tiruan yang berjaya kami rampas ialah sebanyak RM1,260. Kes disiasat di bawah Akta Perihal Dagangan 2011, di bawah Seksyen 8 (2)(B).

“Kita juga nasihatkan pengguna supaya beli produk daripada pengedar sah saja bagi mengelak kejadian seperti ini berlaku,” katanya.