KUALA KUBU BHARU - Polis Hulu Selangor menahan 28 suspek yang disyaki terlibat kes serangan di Balai Polis Serendah, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan R Supramaniam berkata, sebelum ini seorang lelaki telah ditahan, manakala 27 lagi ditahan berdasarkan laporan terkini setakat semalam.

Menurutnya, ia menjadikan tangkapan yang dibuat ke atas suspek dipercayai terlibat serangan bersenjatakan parang ke atas balai itu 28 orang.

Jelasnya, daripada jumlah itu, 12 mereka dipercayai positif dadah jenis naco.

“Kes dibuka bersabit maklumat pertama di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana suspek menyerang balai polis dan disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan/90 Akta Polis.

“Kertas siasatan kes Seksyen 148 Kanun Keseksaan telah dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Selangor, kelmarin,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Baru-baru ini, seorang pengadu diserang menggunakan parang di Balai Polis Serendah, selepas terlibat pergaduhan di sebuah gerai makan.

Ketika itu, suspek pertama yang disyaki bersama kumpulan kongsi gelapnya kemudian menyerang pengadu di dalam balai polis.

Supramaniam berkata, suspek yang enggan mendengar amaran polis ditembak anggota yang sedang bertugas di dalam balai ketika itu.

“Seramai 10 lagi suspek telah dituduh hari ini (semalam) di Mahkamah Kuala Kubu Bharu di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

“Enam suspek mengaku bersalah atas pertuduhan dan dijatuhkan hukuman denda RM5,000 setiap seorang. Manakala, empat lagi mengaku tidak bersalah dan mahkamah menawarkan ikat jamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin,” katanya.

Beliau berkata, suspek pertama yang menyerang mangsa adalah ahli kongsi gelap dan akan dituduh di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan dengan tiga pertuduhan dan bakal didakwa, Isnin hadapan.

Manakala, 12 suspek yang berada di bawah pengaruh dadah akan dituduh di bawah Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Beberapa lagi suspek daripada keseluruhan tangkapan bersabit kejadian ini telah dikenal pasti dan dicadangkan untuk diambil tindakan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (1959),” katanya.