KUALA LUMPUR - Kegembiraan sekumpulan remaja bermandi-manda berakhir dengan tragedi apabila seorang daripada mereka lemas di kawasan perkelahan Sungai Sendat, Hulu Yam Bharu, tengah hari tadi.

Mangsa Zulhilmie Aiman Zulkifli, 16, meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Supt R. Supramaniam berkata kejadian berlaku kira-kira 12.40 tengah hari ketika Zulhilmie, yang tiba bersama 20 rakannya menaiki motosikal dari Klang, untuk mandi di sungai berkenaan.

"Apabila sampai, Zulhilmie mandi bersama rakan lain di kolam air terjun tingkat dua dan tidak tahu berenang lalu dibawa arus air terjun di tengah kolam dan tenggelam.

"Kawan-kawan mangsa tidak sempat menyelamatkan Zulhilmie kerana kejadian berlaku dengan pantas. Bagaimanapun dengan bantuan orang awam dan renjer hutan Zulhilmie berjaya ditemukan 30 minit kemudian di tebing sungai itu," katanya kepada Bernama hari ini.

Supramaniam berkata mayat Zulhilmie dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk bedah siasat.- Bernama