KUALA KUBU BHARU - Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) menerima lebih 100 permohonan pulangan balik kredit cukai taksiran (remisi) daripada pemilik premis atau kediaman yang tidak diduduki dan mempunyai tunggakan  cukai taksiran.

Yang Dipertua MDHS, Mohd Zain A Hamid berkata, pihaknya bersetuju memberi rebat atau pengurangan remisi hingga 90 peratus kepada pemilik premis atau  tanah kosong.

Menurutnya, rebat ini juga tertakluk kepada syarat tertentu dan ia terpakai kepada premis atau tanah kosong.

Jelasnya, ia juga antara usaha MDHS membuat pemutihan kepada sebarang binaan  sebelum 1 September ini.

“Sebelum ini tidak ramai yang mahu buat permohonan remisi kerana mereka tidak tahu rebat yang mereka boleh nikmati jika mereka bayar tunggakan cukai taksiran.

“Jadi, semua pemilik premis boleh datang ke majlis bagi proses pemutihan tunggakan bayaran cukai taksiran tetapi perlu mematuhi syarat ditetapkan jika mahu nikmati pengurangan remisi hingga 90 peratus ini,” katanya kepada  Sinar Harian selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh MDHS, semalam.

Beliau berkata, majlis turut mengenakan syarat khas kepada pemilik premis antaranya mereka perlu membersihkan kawasan premis atau kediaman kosong dan memastikan keadaan premis terjaga serta rumput juga sudah dipotong.

Mohd Zain berkata, aspek kebersihan adalah tanggungjawab pemilik premis, bukan di bawah tanggungjawab MDHS walaupun premis itu tidak didiami.

“Majlis sudah terima terlalu banyak aduan semak dan sampah, diharapkan pemilik premis boleh menjalankan tanggungjawab mereka dengan baik.

“Pemilik premis layak mohon remisi dengan syarat sekitar rumah atau tanah kosong bersih dan terjaga serta mereka sudah jelaskan bayaran tunggakan cukai taksiran” katanya.

Menurutnya, pemilik premis yang tiada masa atau tinggal di luar Selangor, pihak majlis turut sedia membantu mereka tanpa perlu ke MDHS bagi memohon remisi.  

“Proses ini kita buat dua kali setahun dan rebat remisi sehingga 90 peratus sah sehingga hujung tahun ini.

“Permohonan adalah bagi enam kawasan sahaja iaitu Bukit Sentosa, Bukit Beruntung, Taman Bunga Raya,  Sungai Buaya, Lembah Beringin dan  Adenium,” katanya.