KALUMPANG - Luluh hati si ibu, ketika dimaklumkan bayi dalam kandungannya disahkan menghidap sindrom patau dan bakal meninggal dunia jika kandungan itu diteruskan.

Lebih mencabar emosi, Aslina Sani, 36, dinasihatkan agar menggugurkan kandungan yang ketika itu berusia tujuh bulan.

Namun, naluri seorang ibu mengatasi segalanya dan dia nekad meneruskan kandungan walaupun berdepan risiko.

Ternyata kuasa ALLAH itu melebihi segalanya, Aslina selamat melahirkan bayinya yang diberi nama Nur Jannah Ahmad Razis.

Genap usia Nur Jannah empat bulan semalam, bayi itu masih kuat bernafas walaupun diserang sawan setiap tiga minit akibat penyakit itu.

“Sejurus dilahirkan...Nur Jannah segera dikejarkan ke Unit Rawatan Rapi Kanak-Kanak (NICU) dan menerima bantuan pernafasan selama tiga hari.

“Lepas tiga hari, doktor mencabut alat bantuan pernafasan Jannah untuk menguji sejauh mana anak saya mampu bertahan dan Alhamdulillah, Jannah aktif sama seperti bayi lain cuma dia dilahirkan kurang upaya.

“Selain sindrom patau, Jannah juga hidap penyakit hydricephalus (lebihan cecair dalam kepala) dan menyebabkan ukur lilit kepalanya membesar hingga 50 sentimeter dan akan terus membesar jika tidak dibedah segera,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Tidur tak pernah lena

Aslina berkata, hati ibu mana yang tidak sebak ketika melihat anak yang baru mengenal dunia diserang sawan hingga badan bertukar menjadi kebiruan.

“Tidur malam tak pernah lena sebab mahu jaga Jannah. Ketika dia diserang sawan, badannya kejang dan keras, hingga memaksa saya menepuk badannya untuk membuatkan Jannah bernafas seperti biasa.  Sebab bila dia kena sawan, Jannah akan berhenti bernafas.

“Sepatutnya Jannah perlu minum susu khas tetapi buat masa ini, dia boleh saja terima susu biasa dan dia perlu minum guna tiub khas yang saya perlu beli sendiri dan pasang sendiri.

“Keadaan kepalanya yang terus membesar dengan cepat akibat lebihan cecair itu memaksa saya dan suami, Ahmad Razis Abdul Rahmah, 32, meminta sumbangan dari orang ramai kerana doktor hingga kini jangkakan hayat Jannah akan berakhir bila-bila masa,” katanya.

Anugerah terindah

Menurutnya, Nur Jannah adalah anugerah terindah dan istimewa buat dirinya.

“Selama ni saya memang tunggu bayi perempuan, jadi saya tekad apa saja terjadi, saya akan jaga dan sayang Jannah. Suami banyak beri sokongan dan minta saya kuat untuk terima anak istimewa ini.

“Esok (hari ini) kami ada temu janji dengan pihak hospital dan esoklah penentu segalanya untuk dapatkan tarikh pembedahan Jannah,” katanya.

Menurutnya, kepala Jannah akan dibedah dan tiub khas akan dipasang dan disambungkan ke bahagian perut bagi memudahkan lebihan air keluar.

“Tiub akan kekal di bahagian kepala dan akan dibuang jika cecair di kepala kembali kepada normal dan kos pembedahan kita perlukan juga untuk pembedahan sumbing Jannah.

“Jannah dilahirkan sangat istimewa kerana tempurung kepalanya tidak sempurna dan kalau kita picit kepalanya memang lembik. Dia juga tidak ada lelangit dan hidung seperti bayi normal menyebabkan dia terpaksa menyusu menggunakan tiub khas.

“Jadi saya merayu sangat supaya ada pihak sudi hulurkan bantuan,” katanya.

Bagaimanapun, kos keseluruhan pembedahan belum lagi ditentukan pihak hospital tetapi pembedahan perlu segera dilakukan untuk menyelamatkan Jannah.

Adun, JKM hulur bantuan

Adun Hulu Bernam, Datuk Rosni Sohar menjelaskan beliau akan berusaha mempercepatkan proses mendapatkan tarikh untuk pembedahan Jannah.

“Saya sebagai Timbalan Pengerusi Biro Kebajikan Umno akan berhubung terus dengan timbalan menteri kesihatan dan membantu percepatkan proses pembedahan Jannah.

“Sebagai Adun juga menjadi tanggungjawab saya jaga kebajikan masyakat di tempat saya.

“Proses mendapatkan tarikh bedah akan saya usahakan dalam tempoh satu atau dua minggu dari sekarang dan RM1,000 sebagai sumbangan awal saya serah kepada Jannah,” katanya.

Dalam pada itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Hulu Selangor juga menyumbangkan RM300 dari Tabung Bantuan Segera bagi meringankan beban Jannah.

Pegawai JKM Hulu Selangor, Abdul Razak Aziz berkata, sumbangan itu akan diberikan bermula Oktober ini dan Jannah layak menerima bantuan penyakit kronik bagi meringankan beban keluarganya.

Orang ramai boleh menghulurkan sumbangan ke akaun Maybank atas nama Ahmad Razis (512071608286) atau terus menghubunginya di talian 013-2467193 atau Aslina 013-5860548