HULU BERNAM - Penantian lebih enam tahun penduduk Kampung Hassan untuk memiliki rumah idaman berakhir selepas 300 unit rumah menerusi Projek Perumahan Rakyat Taman Danau siap dibina.
V Vassan, 45, melahirkan kegembiraannya dapat memiliki rumah PPR itu setelah sekian lama menanti.
“Saya amat berterima kasih kepada kerajaan persekutuan kerana komited dalam membela nasib penduduk seperti kami.
”Bukan mudah untuk memiliki rumah yang sempurna dengan prasarana lengkap hanya pada harga RM35,000.
“Jelas sekali, kerajaan menanggung lebih separuh harga daripada nilai sebenar seunit rumah demi memberi kesenangan kepada kami,” katanya kepada Sinar Harian.
Vassan menganggap isu pemindahan dan pemilikan rumah PPR Taman Danau sudah selesai dan baki 97 keluarga lagi yang masih belum memperoleh rumah atas faktor teknikal diharap dapat menemui jalan penyelesaian.
Perasaan sebaliknya dirasakan oleh N Mohan, 57, apabila dia antara penduduk yang gagal dalam membuat permohonan pinjaman perumahan daripada pihak bank disebabkan faktor usia dan jaminan pinjaman.
“Harapan kami hanya mahu kerajaan menyediakan kaedah lebih mudah untuk membolehkan kami membuat pinjaman dan pembayaran perumahan tanpa melalui bank.
“Suara ini mungkin agak janggal tapi saya anggap ia dapat membantu kerana kami mampu membayar secara ansuran bulanan,” katanya.
Kemaskini pada 2016-09-21 18:02:53 daripada Administrator