HULU SELANGOR - Penduduk Taman Idaman, Serendah bimbang kemungkinan berlaku lagi tanah runtuh susulan hujan sekejap-sekejap yang berlaku sejak semalam.

Haslayati Mohd, 40, berkata jika ia berlaku lagi, ia dikhuatiri menjejaskan rumah dan gerainya.

"Ini kerana rumah saya berhampiran dengan kawasan tebing yang runtuh sebelum ini. Jika hujan tidak berhenti, saya bimbang rumah dan gerai saya akan terjejas.

"Saya berharap pihak berkenaan dapat menyiapkan segera pemasangan cerucuk besi bagi mengukuhkan tebing tanah," katanya kepada Bernama di pusat penempatan sementara mangsa di Sekolah Rendah Agama Serendah.

Arifuddin Ismail, 28, pula berkata kejadian awal pagi semalam menyebabkan dinding rumahnya retak.   

"Saya bimbang jika berlaku pergerakan tanah atau hujan berterusan, rumah saya akan terjejas. Saya juga tidak tidur lena kerana memikirkan rumah saya.

Saya khuatir pencuri akan mengambil kesempatan dan mencuri barangan di rumah saya yang diarah supaya dikosongkan," katanya.

Bernama difahamkan turut berlaku lagi runtuhan kecil di kawasan berkenaan. –Bernama