SHAH ALAM - Orang ramai diharap tidak melepaskan peluang untuk berkunjung ke Pesta Orkid dan Flora yang kini sedang rancak berlangsung di JRD Batang Kali, Hulu Selangor.

Pesta yang diadakan selama 10 hari bermula pada 23 Disember lalu menampilkan pelbagai produk pertanian terkini antaranya dari pelbagai spesies orkid, tumbuhan herba, ulam dan pokok buah-buahan.

Pesta Orkid dan Flora ini juga membawa kelainan tersendiri apabila turut menampilkan pelbagai jenis pakaian, perkakasan dapur dan pelbagai lagi barangan lain.

Menariknya, apa yang dijanjikan adalah pesta ini pastinya akan membuatkan pengunjung rambang mata dengan pelbagai pilihan produk yang dijual di sini.

Eksekutif Pemasaran BMC Venture, Normazura Nor Mahadzan  berkata, sejak hari pertama ianya diadakan, sambutan yang diterima pengunjung amat menggalakkan.

"Malam ini pastinya, suasana akan bertambah lebih meriah dengan persembahan Yabang Khalifah," katanya kepada Sinar Harian semalam. Normazura menambah, selain jualan dan pameran orkid, fesyen hijab dan muslimah juga disediakan di sini yang mendapat sambutan hangat kerana jualan pada harga borong.

Selain itu, terdapat aktiviti menarik seperti memanah dan orang ramai yang ingin merasai pengalaman memanah boleh berkunjung ke sini.

Sementara itu, pengusaha pokok bunga kemboja yang dikenali sebagai Lee menyifatkan pesta kali ini cukup luar biasa.

"Peminat pokok kemboja bolehlah datang ke tapak gerai saya untuk memilih spesies pokok kegemaran," katanya.