BATANG KALI - Empat lelaki bertopeng menyamun seorang jurujual dalam satu kejadian di sebuah pasar raya di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 6.45 petang itu, mangsa yang sedang bekerja bersama dua rakan tiba-tiba didatangi empat lelaki yang memecah masuk bersama parang.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan R Supramaniam berkata, salah seorang suspek melompat masuk ke dalam kaunter dan mahu menetak  mangsa.

"Mangsa cuba menahan tetapi terkena tetakan pada bahagian jari kanan dan kiri hingga luka.

"Suspek kemudian merampas wang dalam mesin kaunter lebih kurang RM1,000 serta beg duit milik mangsa yang mengandungi kad pengenalan, lesen, kad ATM, MyKid anak, wang tunai RM700 dan kunci motosikal," katanya.

Supramaniam berkata, suspek melarikan diri dengan menaiki Proton Waja.

"Hasil semakan nombor pendaftaran kereta yang digunakan suspek didapati palsu yang didaftarkan atas nama sebuah kereta Iswara," katanya.

Beliau berkata, orang ramai atau saksi yang melihat kejadian diminta tampil memberi maklumat membantu siasatan dengan menghubungi talian 03-60641222 atau Pegawai Penyiasat Inspektor Azhari di talian 013-3881916.

Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 394 Kanun keseksaan.