SHAH ALAM, 23 NOV: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menjalankan program penambahbaikan di kawasan pentadbirannya khususnya di Seksyen 13 di sini bagi mengatasi masalah banjir.
Timbalan Datuk Bandar, Shukri Mohammad Hamin, berkata pihak berkuasa tempatan (PBT) itu sedang mengenal pasti masalah berkaitan dan mengambil langkah sesuai supaya ianya mampu ditangani dengan kadar segera.

“Perkara ini dikaji dan untuk jangka pendek kita menjalankan rundingan dengan pihak berkaitan apabila dijangka akan mengemukakan rumusan minggu depan.
“Kita lihat apa langkah sesuai untuk atasi masalah ini seperti mungkin mengorek kolam tadahan atau membaiki kolam sedia ada,” katanya dalam sidang media di sini, semalam.
Beliau berkata, MBSA memberi perhatian kepada kawasan Seksyen 13 berikutan banjir berlaku di kawasan itu selain pemantauan juga dijalankan di beberapa kawasan lain.
Katanya, kajian jangka panjang juga dijalankan untuk perkara itu dan perbincangan juga diadakan bersama Kerajaan Negeri.
“Ia masih dalam kajian dan MBSA meminta dipercepatkan dengan pihak perunding mengemukakan beberapa rancangan bagi program ini.
“Kajian ini memakan masa sedikit kerana membabitkan kerja penyambungan, sukatan dan sebagainya,” katanya.
Katanya, proses kajian itu dijangka berakhir pada April tahun depan.
http://bm.selangorku.com/category/berita-selangor
Kemaskini pada 2015-11-30 11:56:01 daripada Administrator