SHAH ALAM, 7 DIS: Sebanyak RM10 juta diperuntukkan oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bagi perlaksanaan projek mitigasi banjir di Seksyen 13 dan Seksyen U1.
Datuk Bandar MBSA, Datuk Ahmad Zaharin Mohd Saad, berkata projek mitigasi itu membabitkan dua pembinaan kolam takungan yang bakal dilaksanakan di tempat letak kereta Stadium Shah Alam dan menaiktaraf sebuah kolam takungan di Seksyen 13.

Katanya, selain itu, sebanyak tujuh pam air baru dibeli untuk ditempatkan di kawasan rendah antaranya di hadapan Wisma Rozali.
“Minggu lepas, kita sudah bentangkan kertas kerja kepada Kerajaan Negeri dan kelulusan sudah diberikan. Kos sepenuhnya ditanggung MBSA.
“Bagi kolam takungan di tempat parking stadium, kawasan tempat letak kereta akan digantikan kepada kawasan sekitar dengan keluasan sama,” katanya kepada pemberita ketika ditemui.
Zaharin berkata bagi perancangan jangka panjang pula membabitkan kerja pengorekan longkang yang sedia ada disetiap kawasan yang dikenal pasti.
“Pada 2014, kita sudah besarkan longkang di kawasan itu, namun ia masih tidak dapat menampung kuantiti air yang masuk.
“Sebab itu kita besarkan dan panjangkan lagi longkang sedia ada. Masalah banjir ini dapat diatasi sehingga tempoh 20 tahun akan datang,” katanya.
Beliau berkata Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melakukan kerja pengorekan Sungai Damansara kerana ketika ini, sungai terbabit tidak dapat menampung kuantiti air yang masuk ke dalam sungai.
http://bm.selangorku.com/category/berita-selangor
Kemaskini pada 2015-12-15 10:00:17 daripada Administrator