SHAH ALAM, 11 APR: Stadium Shah Alam menjadi pilihan utama venue Perlawanan Akhir Superbest Power Piala FA 2016 yang dijadualkan pada 14 Mei nanti.
Football Malaysia LLP (FMLLP) dalam satu kenyataan di Facebook memaklumkan pihaknya yakin pengurusan Stadium Shah Alam mampu menyediakan padang dan kemudahan baik meskipun ia bakal digunakan untuk Piala Sultan Selangor seminggu sebelum perlawanan akhir berlangsung.

“Kami juga difahamkan bahawa Piala Sultan Selangor 2016 bakal dilangsungkan seminggu sebelum Perlawanan Akhir Piala FA di stadium tersebut.
“Oleh itu, FMLLP berasa amat yakin pengurusan Stadium Shah Alam dapat menyediakan padang dan fasiliti terbaik untuk perlawanan ini,” katanya.
Bagaimanapun, FMLLP berkata pihaknya sentiasa bersedia dengan pilihan alternatif jika Stadium Shah Alam tidak dapat digunakan antaranya Stadium Hang Jebat, Melaka dan Stadium Darul Makmur.
Saingan Superbest Power Piala FA 2016 sudah masuk ke peringkat separuh akhir melibatkan pertembungan Johor Daruk Takzim (JDT) menentang Kedah sementara Selangor PKNS FC bertemu Perak.
Perlawanan separuh akhir pertama berlangsung pada 15 dan 16 April sementara perlawanan timbal balik pada 30 April 2016.
http://bm.selangorku.com/category/berita-selangor
Kemaskini pada 2016-04-14 10:42:44 daripada Administrator