SHAH ALAM, 5 JUL: Institut Wanita Berdaya (IWB) tekad membantu Kerajaan Negeri merangka dasar dan stategi pemberdayaan wanita ke arah Selangor yang inklusif, lestari dan adil.
Penasihatnya, Zuraida Kamaruddin berkata, IWB juga bermatlamat meningkatkan status sosio-ekonomi wanita selain mempercepatkan keupayaan mereka dalam kepimpinan juga pembuatan keputusan.
“IWB membantu penyediaan ruang percambahan idea dan perbincangan strategik bagi menghidupkan peranan wanita merencana dasar dan inisiatif baru yang lebih progresif.
“Ia demi memartabatkan wanita di negeri ini justeru meletakkan Selangor sebagai negeri contoh mesra wanita yang terkehadapan,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, sejak beroperasi secara rasmi pada April lalu IWB berjaya merangka Dasar Wanita Selangor dan Pelan Tndakan untuk tempoh 2017-2020 sebagai satu hala tuju bagi Kerajaan Negeri untuk pembangunan wanita di negeri itu.
Katanya, ia merangkumi tujuh matlamat iaitu menggalakkan kerangka pembangunan yang sensitif gender, meningkatkan status sosio-ekonomi dan autonomi wanita terpinggir serta merapatkan jurang gender di semua peringkat dan aspek pasaran buruh.
“Ia juga termasuk mempercepatkan penyertaan, perwakilan dan pembuatan keputusan dalam kehidupan awam dan politik dalam kalangan wanita serta meningkatkan kesihatan, kesejahteraan dan mobiliti wanita selain bebas daripada keganasan dan ketakutan juga menzahirkan bakat kreatif,” katanya.
Ahli Parlimen Ampang itu menambah, Dasar Wanita Selangor dan Pelan Tindakan digariskan IWB akan dilancarkan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali pada Ogos ini.
Sumber : Selangorkini
Kemaskini pada 2017-07-06 10:09:42 daripada