SHAH ALAM 13 FEB : Kerajaan Selangor sedang berusaha untuk menyelesaikan penduduk asal Bukit Botak mendapatkan unit kediaman mereka secepat mungkin.
Adun Taman Templer, Zaidy Abdul Talib, berkata biarpun penempatan Bukit Botak berjaya dibangunkan dan sudah mula diduduki, masih ada penduduk di situ gagal mendapatkan rumah ekoran halangan dari pihak bank.

Katanya, terdapat kira-kira 50 hingga 70 penduduk yang menghadapi masalah dengan pihak bank, iaitu kegagalan mendapatkan pinjaman atas faktor umur.
“Memang menjadi hasrat kerajaan negeri agar penduduk asal di Bukit Botak ini diberikan unit kediaman masing-masing seperti dijanjikan kerajaan negeri BN sebelum ini, yang kemudiannya terbengkalai.
“Bila Pakatan Rakyat memerintah, projek pembangunan semula itu diambil kerajaan negeri dan ia tidak akan dilakukan separuh jalan semata-mata,” kata Zaidy dipetik Harakah Daily.
Menurut Zaidy, kebanyakan penduduk yang gagal memperoleh pinjaman bank adalah kerana faktor umur, selain anak-anak atau pewaris mempunyai komitmen bulanan yang tinggi hingga menyukarkan permohonan pinjaman.
Bagaimanapun, jelas beliau masalah itu sedang diperhalusi kerajaan negeri melalui beberapa rundingan dengan pihak bank, pejabat tanah dan pelbagai agensi lain bagi memastikan hasrat penduduk tercapai.

Isu Bukit Botak yang berlarutan sejak lebih 20 tahun lalu berjaya diatasi kerajaan negeri Selangor secara berperingkat dalam tempoh tiga tahun pemerintahan Pakatan Rakyat apabila mengambilalih daripada BN.
Sebelum ini, BN tidak dapat menyelesaikan masalah penempatan semula bagi 2,300 buah ahli keluarga di Bukit Botak yang berkeluasan 201 hektar.
Sumber: www.selangorku.com
Kemaskini pada 2014-03-24 09:21:08 daripada Administrator