SHAH ALAM, 20 MAC : Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) sekali lagi mengajak orang ramai menyertai program berbasikal Kayuhan Santai Shah Alam yang akan diadakan, pada 23 Mac ini.
Timbalan Pengarah Korporatnya, Shahrin Ahmad, berkata edisi kedua program itu adalah landasan bagi MBSA merangka aktiviti berbasikal dengan lebih kerap dan bersistematik.
Katanya, inisiatif itu diambil selaras dengan minat masyarakat yang kini lebih cenderung untuk melakukan aktiviti berbasikal bagi tujuan aktiviti rekreasi dan riadah bersama keluarga.

“Selaras dengan usaha untuk melahirkan warga kota yang sihat dan cergas, Program Berbasikal Kayuhan Santai Shah Alam 2014 akan diadakan dengan lebih kerap atas permintaan dan sambutan orang ramai.
“Oleh itu, MBSA berbesar hati menjemput individu, pelajar, persatuan dan kelab basikal, persatuan penduduk serta mereka yang berminat untuk bersama-sama menyertainya,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Beliau berkata, sesiapa yang berminat boleh mendaftar pada hari program yang akan diadakan di Dataran Kemerdekaan, Shah Alam bermula pada jam 7.30 pagi.
“Setiap peserta akan berbasikal sejauh 36 kilometer bermula di Dataran Kemerdekaan menuju ke beberapa kawasan di Shah Alam seperti Kota Kemuning, Jalan Kebun, Jalan Bukit Kemuning dan kembali ke Dataran Kemerdekaan semula,” katanya.
Kemaskini pada 2014-03-24 08:41:54 daripada Administrator