KUALA LANGAT, 14 FEB: Orang ramai dijemput hadir memeriahkan Karnival Pantai Batu Laut yang akan berlangsung sehingga esok.
Adun Tanjung Sepat, Mohd Haslin Hassan berkata, pelbagai aktiviti menarik disusun sepanjang tempoh karnival yang bermula semalam termasuk gerai jualan, forum, pertandingan futsal, memancing, sembang santai selebriti dan lain-lain.

“Kita turut menganjurkan acara larian rakyat pagi ini bagi memberi peluang kepada peserta kenal dengan kampung-kampung sekitar selain kita mahu memupuk kesedaran penjagaan kebersihan kawasan pantai.
“Kita juga mahu mempromosi kawasan pantai ini yang sebenarnya terkenal sebagai kawasan latihan perahu layar,” katanya kepada Selangor Kini.
Terdahulu, beliau mengiringi Exco Pelancongan dan Alam Sekitar, Elizabeth Wong menyempurnakan majlis perasmian pagi ini di kawasan Pantai Batu Laut.
Sejurus selesai upacara perasmian, Elizabeth turut menyampaikan hadiah kepada para pemenang acara larian dan juga cabutan bertuah.
Selepas itu, berliau dan tetamu yang lain dibawa melawat gerai jualan, taman rekreasi serta Kampung Orang Asli Tanjung Sepat.
EZY
Sumber : http://bm.selangorku.com/
Kemaskini pada 2015-02-17 08:38:14 daripada Administrator