SHAH ALAM, 2 APRIL: Dana bantuan khas penyelenggaraan jalan di kawasan pangsapuri kos rendah akan diwujudkan, kata Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri kini sedang meneliti kaedah dan sistem bersesuaian untuk tujuan itu menggunakan rizab negeri.

“Kita tidak boleh menggunakan peruntukan MARRIS kerana terikat dengan garis panduan Kementerian Kewangan.
“Atas dasar peduli rakyat, kita sedia membantu mereka yang berpendapatan rendah untuk memiliki infrastruktur lebih baik,” katanya di sidang Dewan Negeri pagi ini.
Beliau menjawab soalan daripada Haniza Talha (PAS-Taman Medan) berhubung sama ada peruntukan diberikan Kerajaan Pusat boleh digunakan untuk membaik pulih jalan perumahan bertingkat.
Mengulas lanjut, Mohamed Azmin (PKR-Bukit Antarabangsa) berkata, pihak berkuasa tempatan dengan kerjasama pihak badan pengurusan bersama (JMB) menyenaraikan jalan pangsapuri perlu dibaiki.
“Dengan senarai itu, saya percaya Pegawai Kewangan Negeri akan membentangkan kertas kerja untuk mendapatkan peruntukan,” katanya.
http://bm.selangorku.com
Kemaskini pada 2015-04-06 10:06:24 daripada Administrator