KLANG, 14 APR: Majlis Perbandaran Klang (MPK) menyita 7,186 iklan haram termasuk ‘ah long’ dan mengenakan kompaun kepada syarikat serta pemilik iklan peminjam bekenaan.
Yang Dipertuanya, Datuk Mohammad Yacob berkata, iklan haram berkenaan sentiasa mendapat perhatian MPK dan operasi giat dijalankan sejak sekian lama.
“Operasi ini kerap diadakan bagi membanteras kegiatan ah long yang menarik orang ramai meminjam wang. Ia juga dijalankan bertujuan memusnahkan iklan yang tidak mempunyai lesen,” katanya dalam kenyataan media.

Pada masa sama, katanya, nombor telefon yang dipaparkan pada iklan ah long akan diserahkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) selepas tiga kali semakan talian dilakukan MPK.
Katanya, 26 nombor telefon yang dipaparkan pada iklan ah long dihantar ke SKMM untuk tindakan pembatalan talian telefon, tahun lalu.
“Langkah itu dilihat mampu menangani aktiviti tidak bermoral. Kerjasama masyarakat setempat untuk melaporkan segera jika terdapat kes meletakkan iklan haram di kawasan mereka juga penting.

“MPK akan menjalankan pemantauan dan operasi secara berterusan supaya masalah ini dapat dikawal daripada terus berleluasa,” katanya.
Tahun lalu, 9,081 iklan haram disita dan empat penahanan dilakukan terhadap individu yang memasang iklan ah long di sekitar Persiaran Raja Muda Musa.
Orang ramai dialu-alukan untuk membuat aduan berkenaan iklan haram di talian 1-800-88-23826 atau 03-33748845.
http://bm.selangorku.com
Kemaskini pada 2015-04-20 10:59:28 daripada Administrator