SHAH ALAM 26 APR: Pemain Red Giants perlu melupakan kekalahan 2-1 kepada Kelantan di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam tadi.
Pengurus Pasukan Selangor, Amirudin Shari berkata pemain diminta memberi fokus menghadapi perlawanan ke-10 Liga Super bertemu Perak di Stadium Shah Alam, Sabtu ini (2 Mei).

Katanya, biarpun mengalami kekalahan kedua dalam saingan Liga Super musim ini, Selangor masih lagi pasukan kedua terbaik di belakang pendahulu, PDRM.
“Saya percaya pemain boleh melupakan kekalahan kepada Kelantan ini dan kita akan teruskan cabaran bagi perlawanan berikutnya bertemu Perak untuk kembali mencatat kemenangan,”kata Amirudin dipetik Laman FAS Selangor.
Selepas tewas aksi sulung Liga Super musim ini kepada Terengganu 2-0 disusuli dua keputusan seri 1-1 dengan Pahang dan Johor Darul Takzim (JDT), Selangor cemerlang mencatat lima kemenangan berturut-turut sebelum rekod itu lebur di tangan Kelantan.
Sebagaimana diperkatakan jurulatih, Mehmet Durakovic, memang ini satu perlawanan sukar, lebih-lebih lagi Selangor sudah 13 tahun tak pernah menang di Kota Bharu.
“Kita boleh bertahan sehingga minit ke-73 sebelum mereka menjaringkan gol kedua. Selain itu, terdapat beberapa kesilapan dan peluang dipersiakan.
“Apa pun pemain sudah menunjukkan komitmen lebih daripada seratus peratus dan hanya satu gol memisahkan kedua-dua pasukan,”jelas Amirudin.
http://bm.selangorku.com
Kemaskini pada 2015-04-28 14:03:27 daripada Administrator