|
|
BANTING, 11 Mac 2014 - Seorang penunggang motosikal maut selepas motosikal yang ditungganginya bertembung dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di kilometer 44.5 Jalan Klang-Banting-Port Dickson, kelmarin. Dalam kejadian kira-kira jam 10.50 pagi itu, mangsa, Sanisah Mohd Shahib, 43, menunggang motosikal Suzuki R150 dari arah Tanjong Sepat bertembung dengan Toyota Avanza yang dipercayai hilang kawalan dari arah bertentangan. Akibat rempuhan itu, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan dihantar ke Hospital Banting. Seorang saksi yang ingin dikenali sebagai Ayu Ahmad, 20, berkata, Toyota Avanza yang dipandu seorang wanita berusia 40 tahun itu dilihat memasuki laluan bertentangan sebelum terdengar dentuman yang kuat. “Saya nampak mangsa (Sanisah) dah jatuh dan orang awam cuba selamatkan mangsa tapi tidak berani sehinggalah ambulan sampai. “Saya difahamkan, mangsa alami cedera parah di bahagian kepala dan beberapa bahagian badan,” katanya. Sementara itu, jurucakap polis berkata, kedua-dua kenderaan itu bertembung antara satu sama lain selepas pemandu Toyota Avanza berkenaan memasuki laluan bertentangan. “Akibat pelanggaran itu, penunggang motosikal meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu kereta mengalami kecederaan di bahagian dahi, tangan serta lutut. “Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. |
Kemaskini pada 2016-05-20 13:34:34 daripada Admin ICT