|
|
BANTING, 31 Mac 2014 - Tindakan jurujual mempromosikan barangan atau perkhidmatan mereka di dalam kedai makan atau restoran mengundang rasa kurang selesa pengunjung.
Tinjauan Sinar Harian ke beberapa buah premis makanan menyaksikan aktiviti tersebut semakin menjadi-jadi malah tindakkan pengusaha restoran yang dilihat meminta jurujual berkenaan beredar tidak diendahkan.
Seorang bapa, Nazari Budin, 56, berkata, dia kesal dengan sikap jurujual yang kadangkala berjanji mahu meminta masa tiga minit untuk mempromosikan barangan mereka sering tidak menepati masa yang dijanjikan. Malah, ada di antara mereka yang memaksa pelanggan menerima produk ditawarkan kononnya percuma.
Menurutnya, tindakan itu seolah-olah sengaja mengelirukan pelanggan dengan cuba memperdayakan mangsa.
“Isteri saya pernah mengambil sekeping baucar barangan dapur, dan diminta untuk menggoresnya, setelah isteri saya gores kad itu dia (penjual) meminta sejumlah wang seperti yang tertera sebagai ganti.,” katanya yang tidak mempercayai aktiviti jualan seperti itu.
Nazari berkata, dia berharap pihak bertanggungjawab dapat memantau aktiviti berkenaan daripada terus berlaku sekali gus mengelirukan orang awam.
Seorang guru, Azlina Ahmad Som, 30, berkata, aktiviti menjual di kalangan jurujual kini dilihat sangat mudah untuk mereka mendapatkan pelanggan walau di mana sahaja.
“Paling tidak pun, daripada lima pelanggan ditemui seorang daripadanya mesti membeli,” katanya.
Katanya, jika pelanggan terpedaya, sudah tentu terus mempersetujui untuk menerima perkhidmatan tersebut tanpa berfikir panjang.
Sebelum ini Sinar Harian pernah melaporkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) pernah memaklumkan aktiviti berkenaan boleh diambil tindakan sekiranya ia menganggu orang awam. |
Kemaskini pada 2016-05-20 13:31:56 daripada Admin ICT