![]() |
KLANG, 26 JUN 2014 – Seorang lelaki dipercayai 'bookie' bola sepak Piala Dunia 2014 ditahan polis dalam Ops Soga di Jalan Kasuarina 3/KS 06, Bandar Botanik, di sini, awal pagi semalam. Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisoner Kamarul Zaman Mamat berkata, lelaki berusia 42 tahun itu ditahan selepas berkelakuan mencurigakan berhampiran sebuah premis hiburan. “Suspek agak licik dan bergerak sendirian dengan menyamar sebagai pelanggan untuk menggunakan wifi di depan premis hiburan di situ,' katanya. Menurutnya siasatan awal mendapati lelaki itu tidak mempunyai rekod jenayah namun ujian air kencing disahkan positif. "Kita rampas beberapa barangan seperti tablet, sekeping keratan kertas pertaruhan, telefon bimbit, buku bank serta wang tunai berjumlah RM34. "Sekeping pasport antarabangsa atas nama suspek juga dirampas. Suspek dibawa ke IPD Klang Selatan untuk siasatan. Kes disiasat di bawah seksyen 6 (3) Akta Pertaruhan 1953,” katanya. |
Kemaskini pada 2016-05-20 13:00:33 daripada Admin ICT